Wednesday, November 25, 2009

Hari-hari Paling Sesuai Puasa Sunat - Siaran 106



CHE DAN BIN AHMAD
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com/
Atau – www.hjchedan.blogspot.com/

EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 106.
.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم .


اسَّلآمُ عَـلـَيْكـُمْ وَرَحْمَـة ُاللهِ وَبَرَكــَتـُه


Pendahuluan.

Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.

إِنَّ اللهَ وَمَلـَـءِـكَتـَهُ يُصَلـُّوْنَ عَلىَ النَّبِىِّ ج

يَــأ َيُّهَا الـَّذِيْنَ ءَا مَنُوْا صَلـُّوْا عَلـَيْهِ وَسَلـِّمُوْا تَسْلِيْمـًـا.

”Allah dan para malaikat memberikan rahmat kepada Nabi. Wahai Orang-orang beriman, berikanlah selawat dan salam kepadanya.
(Al-Ahzab(33); ayat 56.


Firman Allah s.w.t:-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.


وَالـْعَصْرِ (1) إ نَّ الْإِنْسَانَ لـَفِى خُسْرٍ (2)إ

إ ِلا َّالـَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلـُوا الصَّلـِحَتِ وَتَوَاصَوْا بِالـْحَقِّ
وَتـَوا صَوْا بِالصَّبْرِ (3)

(1). Demi masa (2) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
(3). Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran

Wahai hamba Allah..! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhkan segala laranganNya.


Sembilan Waktu Paling Sesuai Puasa Sunat.

Puasa sememangnya satu ibadah yang dituntut. Ia adalah ibadah kataatan dan keikhlasan kepada Allah s.w.t. Di akhirat kelak orang yang berpuasa dialu-alukan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Malahan puasa juga adalah madrasah yang mentarbiyah manusia menjadi insan bertaqwa kerana ia membiasakan manusia dengan sifat sabar, amanah, displin, mengurangkan makan, meningkatkan amal ibadat dan sebagainya.

Oleh itu amatlah digalakkan untuk mukmin meneruskan puasa sunat selepas berlalunya Ramadhan untuk mengerjakan kebaikan yang sudah kita lakukan ketika Ramadhan seperti puasa enam hari pada bulan Syawal.

Antara waktu yang digalakkan berpuasa ialah:-

(1). Berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Ia paling afdal kerana Rasuliullah s.a.w. bersabda ”Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud. Dia berpuasa satu hari dan berbuka puasa satu hari. Tidak ada yang lebih afdal daripada itu.”
(H.R.Riwayat Bukhari dan Muslim).

(2). Berpuasa tiga hari setiap bulan dan lebih afdal berpuasa tiga hari bulan terang (hari 13,14 dan 15). Pahala berpuasa pada hari-hari berkenaan ialah sama seperti berpuasa sepanjang masa dengan gandaan pahala.

(3). Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap minggu.

(4). Puasa pada enam hari bulan Syawal.

(5). Puasa hari Arafah, iaitu hari yang kesembilan bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi seorang yang sedang mengerjakan haji tidak disunatkan berpuasa pada hari itu sebaliknya disunatkan berbuka puasa walaupun dia kuat. Ini bertujuan untuk terus kuat berdoa dalam mengerjakan ibadah wajib haji berkenaan.

(6). Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Aafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji dan orang yang tidak mengerjakannya.

(7). Puasa Tasi’ dan Asyura (hari ke 9 dan 10) dan disunatkan menghimpun kedua-duanya.

(8). Puasa dalam bulan-bulan haram (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah. Muharam dan Rejab). Sebaik-baik bulan haram selepas bulan Ramadhan ialah Muharam, kemudian bulan Rejab, kemudian bulan-bulan haram yang lain,akhirnya barulah Syaaban.

(9). Puasa dalam bulan Syaaban. Cuma ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa pada 15 terakhir bulan Syaaban dengan hikmahnya untuk membuat persediaan tubuh badan bagi berpuasa sebulan Ramadhan dan bagi meningkatkan perasaan hati agar berasa ternanti-nanti kehadiran Ramadhan dengan penuh pengharapan dan kegembiraan.

Sekian dahulu dan disudahi dengan:

Wassala mualaikum warahmatulla hiwabarakatuh....!




--------------------ooooooooooooooo---------------------

No comments:

Post a Comment