Monday, October 5, 2009

Mengucap Dua Kalimah Syahadat - Siaran 51

CHE DAN BIN AHMAD,
Tel: HP 012-4932547 – Rumah 05- 7163954.
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com


HAL EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 51.

Masalah 156.

RUKUN ISLAM.

Mengucap Dua Kalimah Syahadat.


Maka bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :-

”Islam itu dibina di atas ilmu asas iaitu syahadat atau naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhyna Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah. Kedua ialah mendirikan sembahyang fardhu lima waktu. Ketiga ialah berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan. Keempat ialah mebayar zakat dan Kelima menunaikan fardhu haji ke Mekah bagi yang berkuasa.”

Hadis tersebut merupakan suatu hadis yang amat penting yang mebicarakan tentang Rukun Islam yang lima yang wajib diketahui dan dipatuhi serta diamalkan oleh setiap orang yang mengaku dirinya seorang Islam.

Rukun Islam yang lima itu merupakan asas bagi keIslaman seseorang. Tidaklah sempurna keIslaman seseorang itu selagi rukun-rukun yang lima ini diabaikan.

1. MAKNA SYAHADAT.

Kalimah syahadat ialah:-

أ َشْهَدُ أ َنَّ لَا إ ِلَهَ إ ِلَا اللهُ وَأ َشْهَدُ أ َنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلَ اللهِ.

“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah.”

Kalimah tersebut dinamakan Dua Kalimah Syahadat kerana ia mengandungi dua bahagian syahadat. Syahadat pertama ialah “La ilaha illallah” لَا إ ِلَهَ إ ِلَا اللهُ- yang bererti tiada Tuhan melainkan Allah.

Syahadat kedua pula ialah ”Muhammadan Rasulullah” مُحَمَّدًا رَسُوْلَ اللهِ
Yang bererti ”Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah” . Kalimah itu juga disebut Kalimah Tauhaid.

Dua kalimah itu mestilah dikrar sekaligus. Seseorang yang menyebut menerima separuh sahaja saperti ”Asyhadu anla hila han illallah”

” أ َشْهَدُ أ َنَّ لَا إ ِلَهَ إ ِلَا اللهُ” adalah tidak memadai dan tidak sah dia menjadi seorang Islam. Oleh itu wajib ikrar keduda-duanya. Sebab itulah dinamakan ”Dua Kalimah Syahadat”


2. HUKUM MELAFAZKAN SYAHADAT.

Setiap orang yang melafazkan syahadat dengan kesukaan dan kerelaan hatinya untuk menganut Islam menurut hukum Islam adalah dianggap seorang Islam atau Muslim yang mempunyai hak dan kewajipan menurut syariat Islam, dan wajib dikenakan ke atasnya segala undang-undang dan peraturan-peraturan Islam.

Tidaklah wajib atas kita untuk mengetahui sejauh mana kebenaran atau kesilapan syahadatnya, kerana kita hanya dipertanggungjawabkan untuk memberi hukum berdasarkan apa yang zahir. Hakikat di hatinya terserahlah kepada Allah. Andainya dua kalimah syahadat yang diucapkan menepati antara lidah dan hatinya itulah syahadat yang benar. Sementara syahadat dengan lidah tetapi tidak diyakini dengan hatinya disebut syahadat yang dusta (syahadat al-Zur).

Kalimah ” La ilaha illallah ” لَا إ ِلَهَ إ ِلَا اللهُ – (Tidak ada Tuhan melainkan Allah). Susunan kalimah syahadat ini dimulai dengan perkataan ”tidak” yang bertujuan ialah untuk menafikan segala rupa bentuk tuhan, kepercayaan, keyakinan dan akidah dan sebagainya.

Ertinya seorang Islam itu hendakah terlebih dahulu membersihkan hatinya daripada segala bentuk kepercayaan, keyakinan dan fahaman terhadap benda lain yang lebih berkuasa di dunia ini dan meyakini sesungguh-sungguh akan kewujudan dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa.

Dengan itu akan selamatlah seseorang itu daripada kesesatan hidup di dunia ini, kemudiannya akan menjaminkan keselamatan hidupnya di dunia dan di akhirat. Itulah kepercayaan yang di bawa dan diajar kepada seluruah manusia dan jin oleh Nabi Adam a.s., kemudiannya diikuti oleh Nabi Nuh, Hud, Salleh, Ibrahim hingga Nabi Muhammad s.a.w.

Syahadat kedua ialah ”Waasyhadu Anna Muhammadan Rasulullah”
” وَأ َشْهَدُ أ َنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلَ اللهِ. – (dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah). Syahadat kedua ini menunjukkan bahawa orang yang mengucap dua kalimh syahadat ini mengaku dirinya tunduk, patuh dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul dan utusan Allah dan dengan ini mengaku akan menurut segala ajaran tanpa ragu-ragu lagi.


3. KONSEP SYAHADAT.

Setiap orang Islam, sama ada Islamnya adalah Islam keturunan yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya ataupun tidak, adalah diwajibkan mengetahui dan memahami konsep syahadat atau makna-makna yang terkandung dalam dua kalimah syahadat. Ini adalah diseababkan semakin luas dan mendalam kita mengetahui, mengerti dan memahami konsep syahadat maka semakin kuat dan teguh kesedaran dan keimanan untuk menunaikan tuntutun-tuntutan dua kamilah sayahadat itu, iaitu :-

a. Dibuktikan dengan mendirikan sembahyang lima waktu yang merupakan sbagai tiang kepada kebesaran Islam.


b. Dibuktikan dengan menunaikan zakat.

c. Dibuktikan dengan menunaikan ibadat puasa Ramadzan.

d. Dibuktikan dengan menunuaikan ibadat haji ke Mekah, bagi yang berkuasa sekali seumur hidup.

e. Kezuhudan hidup di dunia ini dengan meninggalkan dosa-dosa besar, dan perbuatan-perbuatan yang mungkar yang diharamkan dan dilarang oleh Allah.

Seseorang Muslim yang membuktikan penyaksiannya kebenaran Allah dan RasulNya dengan lima ciri amalan fardu tersebut, yang juga merupakan asas kepada binaan Muslim yang dijanjikan oleh Allah mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.


4.. SYARAT-SYARAT DUA KALIMAH SYAHADAT.

Syarat-syaratnya ialah :-

a. Wajib mengetahui lafaz Dua kalimah Syahadat itu dan wajib mengetahui
maknanya dan kandungannya.

b. Wajib mengikrar dengan lidahnya serta hendaklah mengucapkan (membaca) dua
kalimah syahadat dengan selengkapnya.

c. Wajib meyakini maksudnya dan tidak mempunyai keraguan atau merasa sangsi
kebenaran isi dua kalimah syahadat itu.

d. Hendaklah yakin serta mengamalkan tuntutan dan kehendak-kehendak dua kalimah
syahadat itu dan menolak segala apa jua yang bertentangan dengan maksud yang
terkandung di dalan dua kalimah syahadat itu.


4. HUKUM-HUKUM YANG BERHUBUNG DENGAN
DUA KALIMAH SYAHADAT.

Seseorang yang telah melafazkan syahadat dengan kerelaan dan kesedaranya sendiri dengan tujuan menganut Islam, maka dengan itu sahlah dia menjadi seorang Muslim, dan tertakluk dia kepada hukum-hukum syariat Islam. Tidak ada seseorang pun yang dapat mengecap atau menuduh atau menghukum seseorang itu menjadi kafir melainkan Allah sahaja.

Menurut kitab ” Penghantar Akidah” halamam 167, antara lain menyebut:-

”Seseorang Islam itu tidak boleh dihukum kafir yang mengeluarkan dirinya daripada Islamnya melainkan dengan sebab-sebab yang telah dinaskan oleh Islam bahawa setiap mereka yang melakukan sebab-sebab berikut adalah menjadi kafir.”

a. Mengingkari dan mendustai setiap sesuatu yang telah dinaskan dan
difardukan oleh Islam sebagai wajib diimani, sama ada keingkarannya itu
dengan hatinya atau niatnya sahaja. (Keingkaran ini tersembunyi dalam batin
diri yang tidak diketahui melainkan oleh Allah sahaja) atau dengan lidah dan
kata-katanya (atau apa jua yang diiktiraf seabagai kata-kata sahaja seperti
mengingkari, menafikan melalui kata-kata akan ketuhanan Allah, termasuk juga
menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal). Sama ada keingkaran
dengan lidah dan kata-kata itu atau kerana keangkuhan atau ’inadnya atau
mempersendakannya.


b. Melakukan amalan atau perbuatan yang ada nasnya bahawa semata-mata dengan
melakukan perbuatan atau amalan itu menyebabkan dia kafir seperti melakukan
penyembahan yang dinaskan oleh Islam sebagai kafir, atau memakai sesuatu
sebagai kafir, atau memakai sesuatu yang melambangkan sebagai kepercayaan
atau penyembahan dalam agama kafir.

c. Hukumnya tertakluk kepada (1) Ia tidak jahil, iaitu setelah sampai seruan
kebenaran dan setelah dikemukakan hujjah (2) Tidak tersalah (al-Khata’) (3)
Tidak dipaksa.

Sekian dahulu pernyataan penulis dalam Blog ini mengenai asas-asas Fardu ’Ain yang mana setiap Muslim dimestikan mengetahui dengan sefaham-fahamnhya.


Penulisan dalam Blog ini bagi kali ini untuk mereka yang masih kurang memahami sepenuh-penuhnya asas-asas ke Islaman. Bagi mereka yang sudah pun mempunyai ilmuan Islam yang secukup-cukupnya eloklah juga dibuat sebagai mengulangi untuk mengingati semula perkara tersebut sbagai peringatan kita sendiri.
Sekian, kita jumpa lagi dalam Blog ini sedikit masa lagi





------------------------ooooooooooooooooo--------------------------------

No comments:

Post a Comment