CHE DAN BIN AHMAD,
Tel: HP 012-4932547 – Rumah 05- 7163954.
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com
Atau” http://www.hjchedan.blogspot.com
HAL EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 54.
Masalah 159.
Apakah pantang larang yang tidak boleh dilakukan oleh orang-orang yang haid ?
Jawapan.
Perkara yang haram dengan sebab haid sama dengan apa yang diharamkan dengan sebab janabah (berjunub). Cuma ada sedikit tambahan khusus untuknya.
1.. Tidak boleh lalu di dalam masjd jika ditakuti menitik darah. Ini kerana untuk memelihara kesucian masjid dari najis. Di sini kalau darah itu sudah kering atau sudah terjamin tidak menitik maka tidaklah dilarang lagi.
2.. Tidak boleh mandi atau tayammum kerana mengangkat hadas. Maka tidaklah haram kalau seseorang itu mandi sunat dan begitu juga harus berwuduk, malah disunatkan mengambil wuduk setiap kalli hendak membuat kerja-kerja baik.
3.. Tidak boleh melakukan puasa baik yang wajib mahu pun yang sunat. Walaupun datang haid di waktu sudah hampir dengan waktu berbuka puasa maka dia tidak boleh meneruskan puasanya. Dia wajib berbuka ketika itu.
4.. Tidak boleh disentuh oleh lelaki bahagian yang antara pusat dengan lutut tanpa berlapik; walaupun tanpa syahwat, sama ada menyentuh dengan tangan, kaki, zakar atau apa saja. Begitu juga menyentuh dengan zakar tanpa lapik bukan dengan niat bersetubuh, apa lagi kalau bersetubuh dengan zakar yang berlapik iaitu dengan menggunakan kondom. Perbuatan yang disebut di atas adalah haram manakala perbuatan bersetubuh ia dihukumkan berdosa besar.
5.. Tidak boleh suami menjatuhkan talaq, kerana ia memanjangkan masa idah isterinya.
(Rujukan - Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 247).
----------------------------------------------------
Masalah 160.
Bolehkah seseorang yang sudah berhenti haid melewat-lewatkan mandi.?
Jawapan.
Setelah putus berhaid darah maka wajiblah mandi atau tayammum. Segera ini bertujuan untuk membolehkan mereka melakukan ibadah seperti biasa. Sesungguhnya setelah mandi baharu boleh berbuat perkara yang diharamkan semasa haid dan nifas. Walau bagaimanapun dalam menyegerakan mandi itu, beberapa panduan perlu diperhatikan sebelum mandi.
1.. Jika putus haid sebelum Maghrib sekira-kira sempat mengangkat takbiratulihram maka wajiblah mandi dan qadakan sembahyang Zuhur dan Asar.
2..Jika putus haid sebelum Subuh sekira-kira sempat mengangkat takbira-tulihram maka wajiblah mandi dan qadakan sembahyang Maghrib dan Isyak.
3.. Apabila putus haid waktu Zuhur, bolehlah ditangghkan mandi hingga ke waktu Asar untuk mendapatkan kepastian. Kemudian qadakan Zuhur.
4..Apabila putus haid waktu Maghrib,bolehlah ditagguhkan mandi hingga waktu Isyak untuk kepastian, kemudian qadakan Maghrib.
5.. Apabila putus haid selepas Subuh, segeralah mandi, tiada tangguhan dan qada untuk sebarang sembahyang.
(Rujukan Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 248).
--------------------------------------------------------
Masalah 161.
Kaki saya telah disemen dari hujung jari sehingga ke pangkal paha kerana patah. Dalam masa itu saya sudah dua kali kedatangan haid. Soalannya sekarang apakah sah mandi haid saya jika saya tidak basuh kaki saya yang bersimen itu?
Jawapan.
Mandi hadas besar kerana haid mesti meratakan air ke tubuh badan. Kalau ada bahagian yang tidak kena air pastilah tidak sah. Kalau mandi tidak sah bermakna mereka tidak suci. Sembahyang yang dilakukan ternyata tidak sah juga. Bagaimanapun dalam kes anda ini, Islam ada menyediakan jalan penyelesaiannya.
Sebenarnya cara bersuci dalam Islam terdapat banyak cara mengikut keadaan. Mensucikan hadas kecil hendaklah dengan mengambil wuduk. Wuduk hanya dengan menggunakan air. Sungguhpun begitu dalam hal-hal tertentu dibolehkan menggantikan wuduk dengan tayammum. Dibolehkan bertayammum :-
a. Kalau air tidak ada untuk membolehkan mengambil wuduk.
b. Kalau ada anggota wuduk yang tidak boleh sampai air kerana sakit.
Dalam masalah kedua seseorang itu hendaklah mengambil wuduk macam biasa terlebih dahulu. Apabila sampai ke anggota yang sakit, sapukan (bukan basuh) ke atas anggota yang boleh kena air, kemudian tayammum dengan debu yang bersih. Anggota tayammum ialah muka dan dua tangan sampai ke siku. Selepas selesai tayammum sambung wuduk untuk anggota yang selepasnya.
Kalau seseorang itu berhadas besar pula, mesti disucikan dengan mandi. Mandi tentulah juga dengan menggunakan air. Cara mandinya sama iaitu dengan meratakan air keseluruh tubuh termasuk anggota sulit. Pada anggota yang tidak boleh kena air itu maka hendaklah digantikan dengan tayammum. Ianya sama seperti wuduk juga.
Akan tetapi kalau air tidak ada langsung, mungkin di musim kemarau, cukuplah hanya dengan bertayammum untuk menggantikan mandi. Anggotanya tetap sama iaitu muka dan dua tangan hingga ke siku. Ketika itu hadas besarnya akan terangkat.
Begitulah kemudahan Islam untuk umatnya. Kemudahan ini jika mahu dilakukan sungguh mudah tetapi bagi mereka yang tidak mahu yang mudah pun menjadi susah.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 249).
------------------------------------------------------------
Masalah 162.
Bagaimana kedudukan nifas, dan adakah mereka yang gugur mempunyai nifas juga.? (251)
Jawapan.
Nifas ialah darah yang keluar selepas kosong rahim daripada janin atau alaqah atau mudghah.
Seseorang perempuan yang tidak datang haid pada tarikh yang sepatutnya kemugkinan mengandung. Terjadi kandungan apabila terjadi persenyawaan di dalam rahim. Proses perubahan dalam rahim adalah seperti berikut:-
(1) Nutfah (air mani yang berlaku persenyawaan) selama 40 hari.
(2) Alaqah (seketul daging) selama 40 hari.
(3) Mudghah (seketul daging) selama 40 hari.
(4) Janin sudah lengkap anggotanya dan dimasukkan nyawa.
Seseorang perempuan yang mengandung lebih 40 hari bererti sudah terjadi alaqah. Jika dalam tempoh itu mereka gugur maka darah yang keluar mengiringinya dikira nifas. Ini bermakna segala pantang larang semasa gugur sama dengan semasa bersalin.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 251).
--------------------------------------------
Masalah 163.
Sesetengah orang perempuan apabila bersalin tidak keluar darah terus, maka bilakah dikira bermulanya nifas itu.?
Jawapan.
Permulaan nifas dikira dari keluar darah yang mengiringi anak. Andainya darah tidak keluar seiring, darah yang keluar kemudiannya sebelum 15 hari itulah dikira nifas. Sewaktu darah tidak keluar itu wajiblah dia mandi wiladah dan wajib melaksanakan ibadah seperti biasa. Dan andainya dalam tempoh itu darah tidak keluar sampai ke 15 hari maka tiadalah nifas lagi padanya. Darah yang keluar kemudian dari itu dikira haid.
Akan tetapi kalau dalam tempoh itu keluar darah beberapa hari dan kemudian berhenti, dan begitulah seterusnya berselang seli dalam tempoh 60 hari maka ia masih dikira nifas.
Tetapi ketika tidak keluar itu dikira suci maka hendaklah dia mandi dan wajib melakukan ibadah seperti buasa. Ini bererti seseorang itu boleh mandi dua tiga kali dalam tempoh nifas itu.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 252).
--------------------------------------
Masalah 164
Bagaimana hendak dipastikan nifas sudah kering dan suci supaya boleh dimandi. ?
Jawapan.
Sebagaimana kita sedia maklum tempoh keluar darah nifas sekurang-kurangnya hanya satu lahzan (sekejap sahaja). Boleh jadi keluar sedikit saja kemudian tidak keluar-keluar lagi. Manakala tempoh yang paling lama nifas ialah 60 hari. Dalam tempoh itu darah boleh bila-bila masa berhenti, kerana itu selalulah melihat tanda-tanda sucinya.-
Untuk memastikan ianya saudah benar-benar kering dan suci hendaklah dimasukkan kapas ke dalam faraj, ini apabila didapati tanda-tanda darah berkenaan sudah tidak keluar. Apalagi tiada tanda-tanda darah di kapas itu maka sahlah ia sudah suci dan boleh mandi. Akan tetapi kalau masih ada tanda hitam atau merah yang tidak banyak pada kapas maka ia masih nifas. Waktu itu tidak boleh mandi dan padanya masih ada pantang larangnya.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 253).
---------------------------------------------
Masalah 165.
Jika suami mendapati darah nifas isterinya sudah kering,bolehkan disetubuhinya sebelun dia mandi ?
Jawapan.
Pada dasarnya seseorang perempuan yang sudah kering atau berhenti darah haid dan nifsnya wajib mandi. Selagi mereka tidak mandi mereka belum boleh melakukana apa yang dilaranga sebelum ini kecuali puasa dan talak.
Akan tetapi pengkhususan telah diberikan kepada masalah nifas, suami boleh menyentubuhi isterinya yang sudah kering darah nifasnya walaupun sebelum mandi. Hukum ini dikiaskan sama dengan menyetubuhi isteri yang sedang janabah, boleh dilakukan beberapa kali tanpa mandi terlebih dahulu, tetapi perbuatan itu makruh.
Walau bagaimanapun mereka disunatkan mengambil wuduk sebelum melakukan persetubuhan itu. Sungguhpun keharusan ini ada, namun lebih baiklah perempuan itu mandi terlebih dahulu untuk mengembalikan kesegaran badan.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 253).
------------------------------------------
Masalah 166.
Jika nifas keluar hanya seminggu, dan ia berhenti selama 15 hari. Kemudian keluar semula selepas itu, apakah masih nifas atau haid ? (254)
Jawapan.
Masalah ini rasanya jarang berlaku tetapi ianya tidak mustahil. Biasa yang berlaku dalam masyarakat kita, nifas berhenti setelah berlalu nifas itu selama sebulan atau 40 hari, setelah itu darah kering selama 15 hari secara pasti. Tiba-tiba di hari ke 16 keluar pula darah selama beberapa hari.
Masalah yang demikian dikemukakan sama dengan contoh yang dibentangkan, jadi berdasarkan kaedah asas, apabila suci darah saelama15 hatri maka tiadalah lagi nifas. Jadi dalam kes ini sahlah nifasnya sudah benar-benar berhenti pada hari ke 7 (ke 30 atau 40 dalam contoh yang diberi). Darah yang keluar selepas 15 hari suci itu dikira sebagai haid.
Darah haid ini keluar kerana ibu berkenaan tidak menyusukan anaknya. Mereka lebih mementingkan badan sendiri dari menjaga kesihatan anak. Susu ibu amat diperlukan oleh anak untuk membesar dengan seimbang.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 254).
-------------------------------------------
Msalah 167.
Bagaimana ulama’ mengira tempoh nifas yang paling lama ialah 60 hari.? (255).
Jawapan.
Ulama’ telah membuat kajian menyeluruh baik secara teori mahupun kajian amali. Secara teorinya dikira berdasarkan 4 bulan pertama seseorang perempuan itu mengandung. Darah haid mula terhenti apabila ia mengandung, kalau dalam sebulan darah haid tertahan dalam rahim selama 15 hari (paling lama masa haid) dicampur dengan empat bulan bererti 60 hari haid tertahan di dalam rahaim.
Darah ini kekal dalam rahim dan akan keluar secara berdikit-dikit setelah bersalin selama 60 hari. Akan tetapi setelah 4 bulan mengandung darah haid keluar semula, cuma ia menjadi makanan janin. Ini adalah kerana janin ketika itu sudah bernafas dan stiap yang bernafas perlukan makanan
Melalui kajian amali, para ulama’ dahulu membuat bancian pada sebahagiana wanita yang melahirkan anak. Dalam kajian ini didapati darah nifas yang paling lama ialah 60 hari. Ketahuilah mereka yang paling lama tempoh haidnya adalah orang sihat.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 255).
-------------------------------------------------
Masalah 168.
Apa tanda-tanda yang boleh dikenali sebagai darah istihadah ? (255).
Jawapan.
Istihadah ialah darah perempuan yang keluar dari rahim kerana sakit. Darah yang keluar itu dihukumkan sebagai sakit apabila:-
a. Keluarnya kurang dari tempoh masa haid, iaitu sehari semalam. Ini jika keluar kurang dari 24 jam seperti keluarnya tidak bersambung dari jam ke jam.
b. Keluarnya melebihi tempoh srbanyak-banyak haid, iaitu melebihi 15 hari.
c. Keljuarnya melebihi tempoh sebanyak-banyak nifas, iaitu melebihi 60 hari.
Rupa darah istihadah berlainan dengan darah haid yang biasa bagi seseorang. Mereka yang mengalami darah istihadah ini wajib melakukan ibadah seperti biasa. Mereka hanya wajib istnjak tetapi tidak perlu mandi sebelum melakukan sembayang.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 256 )
-------------------------------------------
Masalah 169.
Timbul satu masalah, keluar darah hitam sebanyak lima hari, selepas itu baru keluar merah. Apakah kedua-dua jenis ini haid atau tidak.? (256).
Jawapan.
Di sini di kaji dengan teliti tempoh keluarnya darah itu. Ianya mesti dirjuk kepada hukum dasar, iaitu jika darah itu keluar dalam tempoh haid iaitu 15 hari atau kurang darinya maka sahlah ia darah haid. Faktor berlainan warna dalam tempoh ini tidak menjadi masalah kerana darah haid banyak warnaya.
Akan tetapi jika darah itu keluar melebihi tempoh haid 15 hari, maka faktor berlainan warna diambil kira. Jadi kalau berdasarkan soalan di atas maka darah hitam yang 5 hari itu dikira haid dan selebihnya adalah istihadah. Dalam kes ini, penentuan istihadah atau haidnya dapat ditentukan setelah berlalu 15 hari.
Kalau sahlah melebihi 15 hari maka dia wajib mandi pada hari ke 15 dan qadakan sembahyang dan ibadah lain sepanjang yang dihukumkan istihadah itu.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 257 )
----------------------------------------------
Masalah 170.
Seorang wanita muda memaklumkan ia keluar darah 3 hari kemudian suci selama 12 hari, selepas itu keluar lagi tiga hari. Apakah jenis darah ini.? (257).
Jawapan.
Darah yang keluar 3 hari pertama itu dikira haid dan 3 hari yang kedua itu dikira istihadah. Ini berdasarkan kepada soalan dan kaedah fekah; berdasarkan soalan di atas 3 +12 = 15, ertinya darah yang kedua keluar melebihi 15 hari maka jelaslah bukan haid lagi. Tetapi kalau darah yang kedua keluar sebelum 15 seperti ia suci selama 10 sahaja maka kemungkinan haid itu ada.
Dan berdasarkan satu kaedah lagi; sekurang-kurang masa suci di antara dua haid ialah 15 hari. Jadi dalam kes ini ianya baru suci 12 hari maka jelaslah darah yang keluar itu darah istihadah.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 257 )
------------------------------------------------
Masalah 171. (ms 258)
Ada juga berlaku seseorang perempuan yang tidak berhenti-henti keluar darah dari bulan ke bulan, bagaimana hendak dikira haid dan istihadah ?
Jawapan.
Dalam kes ini terdapat dua kemungkinan jawapannya:-
(1). Jika perempuan itu baru pertama kali datang haid maka sehari semalam itu saja dikirakan haid. Dan begitulah seterusnya setiap bulan. Akan tetapi apabila darah sudah berhenti sama ada secara berubat atau baik dengan sendirinya maka kaedah tersebut tidak boleh dipakai lagi. Sebenarnya kaedah asas mesti digunakan.
(2). Jika perempuan itu sudah biasa haid maka dikira kadar biasa haidnya sebelum ini. Dan begitulah seterusnya dikira setiap bulan. Catatan yang tepat mesti dibuat untuk mengelak dari tersalah kira. Walau bagaimanapun perempuan yang terlibat ini hendaklah berusaha berjumpa dengan doktor pakarnya. Mereka yang sering menghadapi istihadah membahayakan kesihatannya. Kalau mereka sudah bersuami, akan mengcewakan suami pula.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 258 )
-----------------------------------------------
Masalah 172. ( ms 258)
Sering juga berlaku, keluar darah haid selama 5 hari, kemudian suci selama 14 hari, selepas itu keluar darah lagi berterusan tanpa henti-hentinya. Bagaimana kedudukan darah ini ?
Jawapan.
Dalam keadaan begini, kaedah yang telah dibentangkan di atas tidaklah boleh dilupakan; sekurang-kurang masa suci ialah 15 hari. Apabila didapati suci 14 hari maka darah yang keluar selepas itu adalah darah istihadah. Tetapi untuk kes ini disenaraikan panduan seperti betikut:-
(1). 5 hari pertama adalah haid.
(2). Hari pertama darah yang keluar buat kali kedua ialah suci sama
dengan 14 hari. Ini untuk mencukupkan tempoh sekurang-
kurangnya sewaktu suci iaitu 15 hari.
(3) Kemudian 5 hari seterusnya dikira haid semula.
Oleh kerana ia keluar berterusan maka dikira haid akan datang selepas 20 hari yag dikira bermula dari hari keenam haid yang kedua itu.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 259 ).
-------------------
Masalah 173 (ms 259)
Sewaktu keluar darah, ditinggalkan sembahyang dan ibadah lain yang diharamkan kerananya, tetapi bagaiman kedudukan ibadah itu kalau darah yang keluar itu tidak sampai sehari semalam?
Jawapan.
Memang apabaila keluar darah haid beberapa ibadah tertentu diharamkan ketika itu, akan tetapi kalau darah yang disangka haid itu keluar tidak sampai sehari semalam maka jelaslah ia bukan darah haid. Inilah darah istihadah.
Mereka yang istihadah tidak dilarang sebagaimana haid, malah wajib dilakukan sebagaimana orang sihat yang lain. Oleh kerana sembahyang dan ibadah lain ditinggalkan semasa jangkaan awal itu maka wajiblah anda diqadakan semuanya itu.
Perkara seumpama ini jarang berlaku dalam masyarakat kita. Kerana itu, ia jarang diperkatakan hukumnya di dalam mana-mana kuliah agama. Akibatnya apabila berlaku seumpama ini mereka biar itu berlalu tanpa mengqada apa yang ditingggalkan itu.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 260 ).
----------------------------
Masalah 174 ( ms 260).
Setelah kita mandi, jika keluar lagi darah apakah ia darah haid atau darah istihadah ?
Jawapan.
Darah yang keluar setelah mandi (suci) selagi dalam tempoh haid (masa yang kebiasaan berlaku bagi diri anda) maka ia digolongkan sebagai darah haid. Sebenarnya kajian dengan memasukkan kapas ke dalam faraj, apabila didapati memang tiada lagi kesan-kesan darah, ketika itu wajiblah mandi dan lakukanlah ibadah seperti biasa.
Akan tetapi kalau selepas itu keluar lagi darah sama ada sedikit atau banyak, hentikan segala ibadah yang dilarang. Kemudian ditakdirkan berhenti pula darah itu, maka mandilah semula. Begitulah seterusnya yang mnesti dibuat selagi dalam tempoh 15 hari. Kemungkinan banyak kali mandi tidak menjadi masalah, banyak kali mandi, banyak pulalah pahala yang Allah berikan.
Ingatlah darah yang keluar setelah 15 hari barulah dikira darah istihadah. (darah penyakit). Begitu juga dengan darah yang keluar melebihi tempoh nifas 60 hari.
(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 260 ).
Penutup.
Penulis berusaha mendapatkan ilmuan ini semasa menuntut di UM dahulu dan juga dengan berasaskan Kitab yang di rujuk tersebut. Sekalian pembaca Blog ini diminta tolong sampaikan kepada para perawan yang tidak sempat mendapatkan ilmuan ini untuk digunakan dalam kehidupan mereka. Memang sukar hendak mendapat keterangan seperti ini di zaman ini tanpa mengeluarkan perbeanjaan, lagipun tidak banyak guru yang sudi memberi penerangan seperti ini kerana ini adalah satu masalah sulit bagi orang-orang perempuan.
Sekian dahulu, di sudahi dengan.....
Wassala mualai kum warah matullah hi wabaraka tuh...!
---------------------ooooooooooooo-------------------
No comments:
Post a Comment