Wednesday, October 21, 2009

Masalah Agama - Blog Siaran Ke 63

CHE DAN BIN AHMAD,

Tel: HP 012-4932547 – Rumah 05- 7163954.
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com/

MASALAH AGAMA – SIARAN KE 63


Pendahuluan.

بِسْمِ اللهِ الــرَّحْمـَنِ الــرَّحـِيـْم ِ.


Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

Penulis bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana atas limpah kurniaNya dapat penulis meneruskan penyampaian Siaran Blog ini sebagai sumbangan jariah penulis kepada masyarakat Islam di negara ini, setelah .

Masalah 188.


Saya mengambil wuduk tetapi bagaimana saya tidak sedar najis ada di badan saya, bukan anggoa wuduk. Adakah sah wuduk saya itu.?

Jawapan.

Di antara syarat wuduk ialah tiada benda yang menghalang air sampai ke anggota wuduk. Benda yang menghalang itu boleh jadi benda yang berminyak seperti cat, kotoran yang tebal dan kertas yang melekat. Anggota wuduk yang dimaksudkan ialah angota wajib seperti: muka, tangan sampai ke siku, kepala dan kaki. Anggota-anggota ini jika tidak sampai air kerana terhalang maka jelaslah wuduk yang diambil itu tidak sah.


Kalau najis di tempat lain dari anggota wuduk, maka wuduk itu tidak terjejas dan tetap sah. Tetapi kalau kita hendak sembahyang najis itu hendaklah dibasuh terlebih dahulu. Seandainya najis itu masih ada maka kita tidak boleh sembahyang dan kalau sembahyang juga dalam keadaan badan terdapat najis maka sembahyang itu tidak sah.


Tidak boleh sembahyang yang dimaksudkan itu bukan kerana tidak sah wuduk yang diambil tetapi kerana badan kita bernajis. Kesimpulannya sebelum mengambil wuduk tentukan bersihkan terlebih dahulu badan kita atau pakaian kita, dari sebrang najis dan kemudian barulah berwuduk.



Masalah 189.

Adakah najis anjing yang terkena badan kita wajib dibasuh begitu sahaja, jika dibersihkan dengan cara biasa sahkan sembahyang yang kita lakukan. ?


Jawapan.


Najis anjing adalah najis berat. Maksud najis berat ialah cara membersihkannya amat berat. Ianya tidak cukup dengan membasuh dengan air biasa malah tidak cukup dengan basuh sekali saja. Maka sebab itulah dikatakan berat. Dalam Islam membasuh najis ini dinamakan ’samak’ iaitu dengan membasuh enam kali basuhan dengan air mutlak dan sekali dengan air bercampur tanah.


Kaedah yang disediakan oleh Islam tidak boleh diubahsuaikan atau hendak dilogikkan dengan akal. Kalau hendak dilogikkan sudah tentu kita kata tidak loigik cara itu. Lebih baiklah digunakan sabun saja bukan saja bersih, baunya pun harum. Yang penting dalam Islam, kita taati perintah Allah walaupun pada kita tidak logik. Di sini mesti ada hikmahnya. Allah tidak perintahkan sesuatu sia-sia begitu saja.


Kalau kita tidak menyucikan najis itu secara samak maka tubuh kita dianggap tidak bersih. Apabila tidak bersih maka sembahyang yang kita lakukan itu tidak sah malah berdosa pula.


Masalah 190.

Saya telah berhadapan dengan seorang rakan yang bersifat pendedam dan pemarah. Bagaimanakah hendak saya beri nasihat padanya supaya menghilangkan sifat tersebut?


Jawapan.


Ketahuilah bahawa sifat pendendam itu bersumber dari marah:

1. Perasaan hasad dan dengki dalam diri sehingga anda merasakan tidak senang bila melihat seseorang berada dalam kenikmatan, lalu anda mencita-citakan terhapusnya nikmat itu daripadanya. Anda tida suka ia hidup senang, merasa gembira bila ia dalam kesusahan.


2. Anda akan memutuskan status sehabat dengannya, dan akan memburuk-buruk dia dengan mengumpat, membocorkan rahsianya atau dengan apa cara lain lagi menurut hati anda.


3. Anda akan menginayakannya sama ada dengan kata-kata atau dengan tangan anda.

4. Sifat berdendam, hasad dan dengki kerana nikmat dan mewah yang ada padanya dimurkai Allah s.w.t dan berdosa bagi mereka yang mengamalkannya, kerana samalah seperti membenci qada Allah s.w.t. dan ketentuan melebihkan setengah hambaNya.


5. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksaud :

”Janganlah kamu sekalian dengki mendengki, jangan putuskan perse- habatan, jangan membenci, jangan memusuhi, tetapi jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah atas kamu.
(HR. Bukhari dan Muslim)


Melenyapkan Sifat Marah.


1. Hendaklah anda mengetahui bahawa dengki, hasad, khianat, medendam dan bongkak itu adalah bahaya bagi diri anda sama ada dalam urusan dunia mahupun urusan akhirat.


2. Apabila anda bersifat demikian berarti anda telah menentang larangan Allah yang membawa kepada diri anda berdosa.


3. Ingatkan dalam urusan dunia anda akan merasa tersiksa selagi anda bersifat begitu kerana apabila orang lain mendapat nikmat anda akan merasa sedih tersiksa selalu,


4. Anda hendaklah yakin perbuatan itu akan menerima balasan pedih di akhirat kelak.


Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran Surah Fusilat ayat 34-35
bermakasud: -

” Tolaklah kejahatan itu dengan cara sebaik-baiknya, sehingga orang yang bermusuhan antara mu dengannya akan menjadi seorang kawan yang setia dan kelakuan seumpama itu tiada dikurniakan kepada sesiapa pun melainkan orang yang sabar dan tidak diberikan melainkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Fusilat 34-35)


Kesimpulan:

Maka yakinlah bahawa dengan menaruh sifat dengki, khianat, sombong, bongkak dan berdendam tehadap orang lain, anda telah menjadi musuh kepada diri anda sendiri, sebab apa yang anda lakukan itu membawa kecelakaan bagi diri mu sendiri di dunia dan di akhirat.


Cara mengubati penyakit hasad dengki, khianat, sombong, bongkak dan berdendam itu ialah dengan memaksa diri melawan arus perkara itu, dan merasakan rendah diri selalu terhadap orang yang di maksudkan itu. Insya Allah anda akan berjaya.


Sekian dahulu buat sementara waktu, akan di sambung dalam sedikit masa lagi.

Wassala mualikum......



-------------------------------------oooooooooooooooooo-----------------------------

No comments:

Post a Comment