Monday, October 26, 2009

Masalah Agama - Siaran Ke 67

CHE DAN BIN AHMAD,

Tel: HP 013 4807767 – Rumah 05- 7163954.
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com/
Atau – www.hjchedan.blogspot.com/

MASALAH AGAMA – SIARAN KE 67

Pendahuluan.

بِسْمِ اللهِ الــرَّحْمـَنِ الــرَّحـِيـْم ِ.


Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

Penulis bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana atas limpah kurniaNya dapat penulis meneruskan penyampaian Siaran Blog ini sebagai sumbangan jariah penulis kepada masyarakat Islam di negara ini .


Masalah 203 (205)

Pada masa ini kita selalu dapati ibu dan bapa membawa anak-anak mereka ke masjid untuk sembahyang berjemaah dan membawa anak mereka bersembahyang dalam saf bersama-sama dengan mereka.
Apakah pendapat tuan dalam hal ini.?


Jawapan.

Ketahuilah dalam sembahyang berjemaah kanak-kanak lelaki hendaklah berada di belakang saf lelaki dewasa dan kanak-lanak perempuan di hadapan saf perempuan dewasa jika mereka bermakmum imam lelaki. Susunan ini dibuat agar barisan sembahyang lelaki dewasa dengan perempuan dewasa tidak terlalu hampir. Kalau kaedah penyusunan ini dipatuhi maka tidak timbullah soal lelaki sembahyang di saf kanak-kanak atau kanak-kanak bersembahyang di saf orang dewasa.

Persoalan sekarang ramai para makmum tidak memahami kedudukan saf dalam sembahyang. Mereka bersembahyang mengikut sesuka hati saja. Kadang-kadang mereka membawa anak bersembahyang bersebelahan dengan mereka. Dari segi adab senbahyang memang mereka telah sudah melanggarnya.

Apatah lai di sudut hukum, kanak-kanak yang dibawa itu jika sudah berkhatan tetapi belum baligh maka saf mereka dikira terputus, pahala jemaahnya sudah berkurangan. Jika kanak-kanak itu belum berkhatan maka boleh jadi mereka yang terdekat dengannya bersentuhan dengannya, ini akan membatalkan sembahyangnya. Demikian menurut Mazhab As-Shafie.

Untuk lebih selamat lebih baiklah diletakkan saf kanak-kanak dibarisan yang paling akhir atau di tingkat atas yang terasing dari lelaki dewasa.




Masalah 204

Apakah hukum kalau kita menahan kentut sebelum sembahyang atau dalam masa kita bersembahyang. ?


Jawapan. ( ms 62)

Batal sembahyang apabila seorang itu kentut di dalam sembahyangnya. Sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Rasulullah bersabda.
”Allah tidak menerima sembahyang seorang kamu jika ia berhadas sehinggalah ia berwuduk.” Maka bertanya seorang lelaki dari Hadramaut: ”Apakah maksud hadas ya Abu Hurairah ?” Jawabnya: ”Kentut dan berak.”


Menahan kentut dalam sembahyang adalah makruh kerana ia mengganggu kita dalam mendapatkan ketenangan ketika sembahyang, disamaping itu menahan kentut boleh menyebabkan penyakit. Akan tetapi kalau sembahyang itu sudah melebihi separuh maka wajib pula menahan kentut. Membiarkan kentut ketika itu berdosa kerana ia termasuk dalam sengaja membatalkan sembahyang. Akan tetapi kalau sebelum sembahyang maka haram menahan kentut pula. (ms 64)


Masalah 205.

Apakah nanah itu najis, bagaimana dengan mereka yang mukanya berjerawat nanah, sahkah wuduk dan sembahyangnya. ?


Jawapan. (ms 64)

Memanglah nanah itu najis. Sama ada nanah itu kepuyaan sendiri atau dari orang lain ia sama sahaja hukumnya. Cuma nanah yang masih dalam kulit tidaklah dihukumkan najis. Apabila kulit pecah dan keluarlah nanah itu mengenai badan atau pakaian maka ketika itu barulah ia najis.

Jerawat bernanah misalnya tidaklah sampai keluar nanah ke muka, kalau begitu tidak timbul soal najis lagi. Akan tetapi kalau nanah itu keluar kerana jerawatnya pecah maka basuhlah muka dan teruslah sembahyang. Sememangnya sewaktu mengambil air sembahyang mesti basuh muka, maka dengan sendirinya nanah itu akan hilang. Dengan ini sahlah air sembahyang itu. Kemudian kalau sewaktu hendak sembahyang ia keluar lagi, basuh dengan air bersih dan terus sembahyang. Dengan cara ini sembahyang akan selamat.


Sesungguhnya begitu kalau nanah itu asyik keluar saja, maka eloklah sewaktu hendak sembahyang tampalkan tempat itu sementara. Kalau ia keluar akan mengenai tampalan itu tidak mengapa dan sembahyang adalah sah.

Allah tiada membuat kesukaran dalam hal agama.

Firman Allah s.w.t.


وَمَا جـَعـَلَ عـَلـَيـْكـُمْ فـِى الـد ِّيـن ِ مـِن ْ حـَرَج ٍ
(الحج 78)

Allah tiada membuat kesukaran ke atas kamu dalam perkara agama.
(Al-Quran Surah Al-Haj, ayat 78) .


Sekian dahulu buat sementara waktu ini, penulis akan menyambung lagi dalam waktu yang singkat ini.

Wassala mualaikum….


(Rujukan: Kitab Menyentuh Persoalan Akidah,Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikanm Jilid 2.)

-------------------------------ooooooooooooo---------------------------------------

No comments:

Post a Comment