Wednesday, May 19, 2010

Fardhu Wuduk - Siaran 244




PELAJARAN DARI KITAB MAZHAB SHAFIE.

BAB WUDHUK. Siri 244

Makna Wuduk Pada Bahasa dan Syarak.

1.. Perkataan wudhuk dari segi bahasa diambil daripada الوَضَاءَةُ iaitu elok dan berseri. Ertinya pada syarak ialah: “Perbuatan menggunakan air pada anggota tertentu beserta dengan niat,”

2.. Manakala الوَضَاءَة ialah air yang digunakan untuk berwudhuk. Ia dinamakan demikian kerana ia mengelok dan menyerikan anggota-anggota dengan membasuh dengan membersihkannya.

Fardhu Wuduk.

3.. Fardhu wudhuk enam perkara iaitu:-
a. Niat.
b. Membasuh muka.
b. Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.
c. Menyapu kepala.
d. Membasuh keuda-dua kaki hingga ke buku lali
e. Tertib (yang dahulu di dahulukan dan yang kemudian
di kemudiankan).

4.. Dalil Wudhuk dan Rukunnya.

Firman Allah s.w.t.
يَأ َيُّهَا الـَّذِينَ ءَامَنُوْا إِذ ّا قـُمْتـُمْ إ ِلىَ الصَّلـَوةِ فَاغْسِلـُوْا وُجُوهَكُمْ وَأ َيْـدِيَـكُمْ إ ِلىَ الـْمَرَافِقِ وَامْسَحُوْا بِرُءُوسِكُـمْ وَأ َرْجُلـَكُـمْ إ ِلىَ الـْكـَعـْبـَيْنِ.(الماءيده: 6)
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang, maka basuhlah muka dan tanganmu hingga ke siku dan sapulah kepalamu dan (basuhlah) kakimu hingga kedua buku lali.
(Al-Maidah: 6)

5..Pertama -Niat.

Ini kerana wudhuk adalah ibadat dan niat akan membezakan di antara ibadat dan adat. Sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim (l907):

إ ِنَّمَا الأ َعْمَالُ بِالنـَّيـَّاتِ وَإ ِ نَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍمَانـُوَى.
Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat, dan bagi setiap seseorang itu (berdasarkan) kepada apa yang dia niatlkan. (HR Bukhari dan Musalim)

6.. Ini bermakna ibadat tidak sah dan tidak diambil kira oleh syarak melainkan apabila ia diniatkan dan seseorang mukallaf tidak akan mendapat pahala kecuali dia mengikhlasakan niatnya.
Niat pada bahasa ialah: Qasad (menuju atau bermaksud mahu melakukan sesuatu). Manakala pada syarak ialah: Qasad sesuatu yang disertai dengan melakukannya (apa yang diniatkan). Tempat niat ialah dihati dan disunatkan berlafaz dengan lidah.
Cara berniat ialah dia berkata di dalam hatinya dan lidahnya menyebut:
نـَوَيْتُ رَفـَعَ الـْحَد َثِ الْأ َصْغـَرِ للهِ تـَعَالىَ.
”Sengaja aku mengangkat hadas kecil semata-mata kerana Allah Taala.”
Waktu niat ialah ketika membasuh bahagian yang pertama daripada muka, kerana itu adalah permulaan wudhuk.

7.. Kedua –Membasuh seluruh muka kerana firman Allah s.w.t. yang bermaksaud: ”Maka basuhlah muka kamu:

Sempadan muka ialah dari segi memanjang bermula daripada tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga bahagian paling bawah dagu dan dari segi lerbarnya bermula daripada telinga-hingga ke telinga.

Wajib dibasuh kesemua yang ada pada muka iaitu bulu kening, misai, janggut: zahir dan batin. Kerana sermua iatu adalah sebahagian daripada muka, kecuali janggut yang tebal iaitu yang tidak dapat dilihat apa yang ada dibawahnya (pangkalnya) maka ia memadai dengan membasuh apa yang zahir tanpa batinnya (bahagian dalam iaitu dasarnya pada kulit).

8..Ketiga - Membasuh kedua tangan hingga ke siku kerana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ”Dan basuhlah tangan-tangan kamu hingga ke siku.”

Siku adalah termasuk di antara anggota yang mesti dibasuh. Perkara tersebut telah disebut dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (246) daripada Abu Hurairah r.a.:( Bermaksud)

”Dia telah berwuduk dengan membasuh mukanya lalu dia menyempurnakan wudhuknya. Kemudian dia membasuh tangan kanannya hingga ke bahagian atas siku, kemudian tangan kirinya hingga ke bahagian atas siku. Kemudian dia menyapu kepalanya. Kemudian dia membasuh kaki kanannya hingga ke betis. Kemudian dia membasuh kaki kirinya hingga ke betis. Kemudian dia berkata: Demikianlah aku melihat Rasulullah s.a.w. berwudhuk.”

Wajib meratakan basuhan ke semua bulu dan juga kulit. Sekiranya di bawah kuku terdapat kotoran atau terdapat cincin yang menghalang daripada sampai air maka wudhuk tidak sah.
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari (16) dan Muslim (241) (lafaz )Muslim),daripada Abdullah bin Amru r.a. dia berkata:

”Aku kembali bersama Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah hingga apabila kami sampai ke kawasan air di suatu jalan, tiba-tiba satu kaum telah bersegera ketika waktu Asar dan mereka telah berwudhuk dalam keadaan gopoh.,kemudian kami berhenti di tempat mereka,sedang buku lali (mata kaki) mereka tidak dibasahi oleh air (wudhuk). Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Celakalah/Binasalah buku-buku lali disebabkan oleh api neraka, sempurnakanlah wudhuk kamu semua.”



Imam Muslim (243) telah meriwayatkan:

”Seorang lelaki telah berwuduhk dan meninggalkan satu termpat pada kuku kakinya. Perbuatannya dilihat oleh Rasulullah s.a.w. lalu Baginda bersabda: ” Kembalilah dan perbaiki wudhuk kamu.” Lalu dia kermbali menyempurnakan wudhuknya kemudian dia bersembahyang.”

Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa tidak sah wudhuk apabila anggota yang wajib dibasuh, tidak dibasuh walaupun satu bahagian yang paling kecil.


9.. Keempat –Menyapu sebahagian daripada kepala walaupun sehelai rambut selama ia berada dalam sempadan kepala. Maksud firman Allah s.w.t.: ”Dan sapulah kepala-kepala kamu,”

Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk dan Baginda menyapu ubun-ubunnya dan menyapu di atas kain serban di kepalanya ( H.R. Muslim 274)

Sekiranya dia membasuh kepalanya atau sebahagiannya sebagai ganti kepala
menyapu maka ia adalah harus.

Ubun-ubun kepala ialah bahagian depan kepala dan ia satu bahagian daripada kepala. Memadai menyapu di atasnya adalah dalil yang menunjukkan bahawa menyapu satu juzuk dariada kepala itulah yang dituntut. Dan maksud menyapu kepala itu akan berhasil (diterima) dengan disapu pada mana-mana bahaghian kepala.

10.. Kelima – Membasuh kedua-kedua kaki hingga buku lali kerana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ” Dan kaki-kaki kamu hingga ke buku lali.”

Buku lali ialah tulang yang timbul (berbonggol) daripada setiap belah kaki yang merupakan pemisah (sendi) antara kaki dan betis. Kedua-dua buku lali adalah termasuk dalam anggota yang mesti dibasuh. Dalilnya ialah sebagaimana hadis Abu Hurairah r.a. sebelum ini. Di dalamnya disebut: ”Sehingga sampai ke betisnya.”

Dan wajib meratakan basuhan kedua-dua kaki dan tidak boleh tertinggal sedikitpun walaupun satu tempat di kuku atau di bawah kuku sebagaimana kedua-dua tangan yang telah disebut yang lalu.

11.. Keenam – Tertib dalam melakukan rukun-rukun berwudhuk yang telah disebutkan dahulu.

a. Ini berdasarkan ayat yang menyebut tentang fardhu wudhuk secara tertib dan juga daripada perbuatan Rasulullah s.a.w. Baginda tidak berwudhuk melainkan secara tertiub sebagaimana susunan yang disebut oleh Al-Quran. Perbuatan Baginda itu adalah dalam hadis-hadis yang sahih.
b. Di antaranya hadis Abu Huairah r.a. yang lalu yang disebut dalamnya huruf ”thumma” ثــُم َّ -(ertinya kemudian) yang memberi makna tertib sebagaimana yang disepakati oleh Ulama’.

c. Imam Nawawi telah menyebut di dalam kitabnya Al- Majmuk 1/484:
”Berkenaan sifat wudhuk Nabi s.a.w. para ahli hadis telah behujah dengan hadis-hadis sahih yang diambil daripada kumpulan-kumpulam para sahabat yangh meriwayatkan. Para sahabat telah mensifatkannya secara tertib. Ini dalam keadaan mereka ramai dan berada di tempat yang berlainan ketika meriwayatkan serta terdapat banyak perbezaan dalam menyebut sifat-sifat wudhuk Baginda pada masalah bilangan Rasulullah s.a.w. membasuh atau menyapu iaitu satu kali, dua kali, tiga kali dan lain-lain lagi. Walaupun terdapat perbezaan dalam periwayatan tersebut, tetapi tidak terbit dalam hadis tersebjut sifat tidak tertib.

d. Perbuatan Rasulullah s.a.w. adalah penjelasan kepada bentuk wudhuk yang diperintahkan. Sekiranya hukum meninggalkan tertib adalah harus, sudah terntu Baginda meninggalkannya pada sesetengah keadaan bagi menjelaskan bahawa ia adalah harus. Ini adalah sebagaimana Baginda meninggalkan perbuatan berulang-ulang ketika membasuh atau menyapu pada waktu-waktu tertentu bagi menjelaskan bahawa berulang-ulang itu tiada wajib.

---------------ooooooooooooooo---------------

No comments:

Post a Comment