Monday, November 30, 2009

Amalan Lahir dan Batin - Siaran 115



CHE DAN BIN AHMAD
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com/
Atau – www.hjchedan.blogspot.com/


EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 115





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم .


اسَّلآمُ عَـلـَيْكـُمْ وَرَحْمَـة ُاللهِ وَبَرَكــَتـُه


Pendahuluan.

Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.

إِنَّ اللهَ وَمَلـَـءِـكَتـَهُ يُصَلـُّوْنَ عَلىَ النَّبِىِّ ج

يَــأ َيُّهَا الـَّذِيْنَ ءَا مَنُوْا صَلـُّوْا عَلـَيْهِ وَسَلـِّمُوْا تَسْلِيْمـًـا.

”Allah dan para malaikat memberikan rahmat kepada Nabi. Wahai Orang-orang beriman, berikanlah selawat dan salam kepadanya.
(Al-Ahzab(33); ayat 56

-----------------------------------


AMALAN LAHIR DAN AMALAN BATIN.


Syariat ialah apa sahaja amalan-amalan lahir yang diperintahkan kepada umat Islam sama ada wajib atau sunat. Dan apa sahaja yang ditegahkan sama ada yang haram atau makruh termasuk juga amalan-amalan yang harus kedudukannya.

Syariat lahir terbahagi dua bahagian iaitu:-

1.حبل من الله

2. حبل من النـاس


Hablumm minallah (حبل من الله ) ialah amalan-amalan yang termasuk persoalan ibadah. Contohnya sembahyang, puasa, zakat, naik haji, bacaal-Quran, zikir, tahlil, selawat dan beberapa perkara lagi.


Hablum minannas )النـاس حبل من) ialah semua amalan-amalan lahir kita yang termasuk dalam bidang-bidang muamalat (jual beli), munakahat (nikah kahwin) dan jenayah serta tarbiah Islamiah, soal-soal siasah, jihad fisabillah dan persoalan alam sejagat.


Hakikat pula apa sahaja amalan yang diperintahkan atau ditegah oleh Allah s.w.t. kepada umat Islam. Amalan yang diperintahkan dikenali sebagai sifat “mahmudah” dan yang ditegah ialah sifat “mazmumah.”


Hakikat terhagi kepada dua bahagian iaitu :-

a. Akhlak dengan Allah s.w.t.

b. Akhlak dengan manusia.


Antara bentuk-bentuk akhlak dengan Allah s.w.t. ialah :-


a. Mengenal Allah dengan yakin.

b. Merasa kehebatan Allah Taala.

c. Merasa gerun dengan neraka Allah.

d. Merasa sentiasa diawasi oleh Allah.

e. Merasa hina diri dan malu dengan Allah.

f. Meredhai setiap takdir dan ketentuan Allah.

g. Sabar di atas sebarang ujian Allah.

h. Mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah.

i. Sentiasa Menyintai Allah.

j. Merasa takut pada Allah atas kecuaian dan dosa-dosa kita.

k. Tawakkal kepada Allah.

l. Merasa harap pada rahmat Allah.

m. Rindu pada Allah.

n. Sentiasa mengingati Allah.

o. Rindu pada syurga Allah dan pertermuan dengan Allah.



Bentuk akhlak kepada manusia pula ialah :-


a. Mengasihinya sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.

b. Merasa gembira di atas kegembiraannya dan tumpang berdukacita kerana
kedukaannya.

c. Menginginkan kebahagian untuknya disamping berharap agar kecelakaan
menjauhinya.

d. Benci pada kejahatannya tetapi kasihan pada dirinya hingga timbul perasaan
untuk menasihatnya.

e. Pemurah padanya.

f. Bertolak ansur padanya.

g. Mengenang jasanya dan berusaha membalasnya kerana Allah.

h. Memaafkan kesalahannya dan sanggup meminta maaf atas kesalahan padanya.

i. Kebaikannya disanjung dan diikuti, kejahatannya dinasihati dan dirahsiakan.

j. Lapang dada berdepan dengan ragam manusia.

k. Baik sangka terhadap orang Islam.

l. Tawadhuk dengan manusia.


Kedua-dua syariat dan hakikat adalah perkara-perkara yang sangat penting untuk membenbtuk peribadi yang benar-benar bertaqwa dan terlepas dari sifat-sifat nifaq.

Kita wajib mengamalkan kedua-duanya serentak dan seiring. Namun adalah diakui bahawa bukanlah mudah bagi kita untuk mengamalkannya.

Allah s.w.t. menjelaskan ini dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 45 dan 46 seperti berikut :-

وَاسْتـَعِيـْنُوا بِالصَّبـْرِوَا لصَّلـَوةِ ج

وَإِنـَّهَا لـَكـَبْيْرَة ٌ إِلا َّ عَلىَ الـْخَشِعِيْنَ.

الـَّذِيْنَ يَظُنـُّوْنَ أ َنَّهُمْ مُلـَقُوْا رَبِّهِمْ وَأَنـْتُمْ

إِلـَيْهِ رَجِـعُوْنَ.


Maksudsnya: “Jidikanlah sabar dan dan solat itu sebagai penolong mu. Dan sesungguhnya yang demikikan itu adalah sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Al-Baqarah, ayat 45 dan 46).


Allah s.w.t. mengatakan untuk menjadi orang yang sabar itu susah dan untuk menjadi orang-orang yang tetap bersembahyang itu juga susah. Maknanya kedua-dua amalan lahir dan batin itu memang susah untuk diamalkan. Tetapi ianya jadi mudah dan senang bila kita dapat memiliki sesuatu yang lebih penting dari keduanya iaitu rasa khusyuk dengan Allah (rasa diawasi Allah setiap masa), yakni yakin akan pertemuan dan pengembalian diri ke hadrat Allah a.w.t. di akhirat nanti.


Dari fahaman kita bahawa antara kedua-duanya amalan lahir dan batin yang mesti diberatkan dan didahulukan pada diri kita ialah amalan batin. Kita usaha dapatkan dahulu rasa khusyuk atau yakin akan kewujudan Allah sert pertemuan kembali kita dengan-Nya di satu hari nanti barulah kita akan ada kekuatan untuk mengamalkan syariat dan hakikat.


Tanpa terasa khusyuk itu, kita tidak akan dapat mengalahkan hawa nafsu dan syitan yang sentiasa sungguh-sungguh mengajak kita menderhaka Allah.


Inilah panduan kita untuk memperjuangkan Islam kepada manusia yang mesti didahulukan ialah hatinya supaya berubah dari hati yang tidak kenal Allah kepada hati yang khusyuk dan cinta pada Allah. Bila hati sudah cinta Allah akan ringanlah manusia itu menerima dan mengamalkan syariat Allah lahir dan batin.


Sekian dahulu dalam bab ini, sehingga kita bertemu lagi di dalam penulisan ini, diucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang sentiasa setia melayari Blog ini, semoga Allah memberi ganjaran pahala di atas kecenderongan anda kepada kebaikan.

Wassala mualaikum warahmatulla hiwabarakatuh.....

!


-----------------ooooooooooo--------------

No comments:

Post a Comment