Friday, September 25, 2009

Sembahyang Minta Hujan - Siaran Ke 36

CHE DAN BIN AHMAD,
Tel: HP 012-4932547 – Rumah 05- 7163954.
E-mail – hjdan@myjaring.net.


HAL EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 36


Pertanyaan.

Saya ingin tahu bagaimanakah jika kawasan kami ini tidak hujan beberapa bulan, maka kami ingin sembahyang minta ujan turun. Bagaimanakah caranya?


Jawapan.

Hukum sembahyang minta hujan itu adalah sunat Muakkah, seketika diperlukan, oleh sebab terputusnya hujan dan sumber-sumber air. Tempat sunnah Muakkahnya adalah selama tidak di arahkan oleh Kerajaan. Tetapi apabila diperintahkan oleh Kerajaan hukumnya adalah wajib.

Adapun cara memohon Allah menurunkan hujan itu adalah dengan doa dilakukan selepas tiap-tiap sembahyang. Tetapi yang lebih sempurna adalah dengan mengerjakan sembahyang memohon Allah s.w.t. menurunkan hujan yang dilakukan oleh sekalian penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Tindakan yang lebih awal ialah Imam masjid memerintahkan sekalian kaum Muslimin dan Muslimat untuk bertaubat kepada Alah s.w.t., membanyakkan sedekah, menarik diri dari melakukan perbuatan maksiat, serta perbuatan kezaliman, mengadalan perdamaian dan sebarang persengketaan sesama Islam.

Kemudian berpuasa sunat selama tiga hari, dan pada hari keempatnya lakukanlah sembahyang minta hujan turun. Sekalian penduduk Islam akan keluar menuju ke tanah lapang, masih dalam keadaan berpuasa dengan memakai pakaian yang sederhana tetapi bersih dengan tenang dan rendah hati.

Setelah berkumpul semua bersembahyanglah dengan dua rakaat, iaitu sembahyang minta hujan atau ”Solatul Istisqa” seperti sembahyang Hari Raya, dengan melafazkan tasbih tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. Lafaz niat sembahyanag itu boleh dilakukan dalam bahasa kita iaitu ”Sahaja aku sembahyang memohon hujan, dua rakaat, makmum kerana Allah Taala, Allah hu Akbar”

Selesai sembahyang, Khotib akan membaca Khutbah iaitu Khutbah Pertama dan Khutbah Kedua. Tetapi takbir yang akan dibaca oleh Khotib itu ialah dengan istighfar 9 kali pada khotbah pertama dan 7 kali pada khotbah kedua.

أ َسْتَغْفِرُ اللهَ الـْعَظِيمْ ا َلـَّذِىْ لَا ا ِلـَهَ ا ِلَّا
هُوَ الـْحَيُّ الـْقَيُّوْمَ وَا َتُوْبُ ا ِلـَيْهِ.

Sunat Khotib mengalihkan letak selendangnya dari kanan ke kiri, sebagai simbolek akan turun hujan. Mereka yang mendengar khotbah juga sunat berbuat demikian.

Dan selepas khotbah kedua Khotib akan membaca doa memohon hujan sebagaimana Doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w.

(Doanya lihat Kitab Masalah Agama Islam Jilid 3, m.s. 176)

Dalilnya adalah sebagai hadis Rasulullah s.a.w. yang di riwayatkan oleh Abi Hurairah r.a. bermaksud:-

“Pernah keluar Nabi s.a.w.pada suatu hari untuk minta hujan. Maka beliau bersembahyang bersama kami dua rakaat, tanpa azan dan iqomat, kemudian beliau berkhotbah pada kami dan bedoa kepada Allah s.w.t., dan memalingkan wajahnya ke arah qiblat sambil mengangkat kedua tangannya, lalu membalik selendangnya, maka diletakkannya yang kanan di atas kirinya dan yang kiri di atas kanannya.”
(H.R. Ahmad dan Ibnu Majah)

(Rujukan Kitab Masalah Agama Islam, Jil 3 m.s. 176)


-------------------ooooooooooooo---------------

No comments:

Post a Comment