Thursday, December 24, 2009

Tafsir al-Quran Surah ali-Imran ayat 92- Siaran 142



CHE DAN BIN AHMAD
E-mail –
hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com/


EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 142
.


Tafsir Al-Quran.


Surah Ke 3, Ali-Imran, Ayat 92.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ


لـَنْ تـَنَالـُوا الـْبِرَّ حَتىَّ تـُنْفِقـُوا مِمَّا تُحِبُّونَ.


وَمَا تـُنـْفـِقـُوا مِنْ ثسَىْءٍ فـَإِنَّ اللهَ بـِـهِ عَـلِـيـمٌ.



)92). Tiada akan tercapai oleh kamu kebaikan itu sehingga kamu membelanjakan apa-apa yang kamu sayangi. Dan apa jua pun yang kamu belanjakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (untuk memberi balasan).


Ayat yang berbunyi: لـَنْ تـَنَالـُوا الـْبِرَّ -

Huraiannya:


Ibn Abbas mentakwilkan “al-Birra” di sini ialah “syurga”. Setengah ulama’ mengatakan ”al-Birra” ialah ”takwa,” dan ada pula yang mengatakan ”ketaatan.”
Maka takwa dan ketaatan –keduanya ini- bolehlah diMelayukan bererti ”kebaktian


Jadi maksud ayat tersebut ; ” Tiada akan tercapai oleh kamu sebenar-benar kebaktian dan kamu tiada akan menjadi orang yang solih, sehingga kamu belanjakan apa-apa yang kamu sayangi.

Boleh juga dimaksudkan: ”Tiada akan kamu capai kebaktian – yakni memperolehi pahala – sehingga kamu belanjakan apa-apa yang kamu sayangi.”


Asal makna ”al-Birra” atau kebaktian itu ialah ”memperluas kerja bakti.” Kalau orang katakan si polan itu berbakti kepada Allah, ertinya memperluas ketaatannya terhadap Allah dengan kerja-kerja kebajikan. Kebaktian yang terbit dari Allah bererti ”pahala” dan yang terbit dari hamba bererti ”ketaatan.”


Boleh juga ”al-Birra” itu digunakan dalam perkara ”berkata benar” dan ”berbudi pekerti yang baik.” kerana kedua-duanya daripada jenis kerja-kerja kebajikan yang sangat luas pengertiannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya: ”Bersabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

Sesungguhnya berkata benar itu membawa kepada kebaktian dan kebaikan itu membawa kepada syurga, bahawa lelaki yang sememang berkata benar dituliskan oleh Allah ia orang yang berkata benar. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa kepada neraka, bahawa lelaki yang sememang berdusta ditulis oleh Allah ia orang yang berdusta.”

Kemudian ayat tadi dikaitkan dengan ayat yang berbunyi:

حَتىَّ تـُنْفِقـُوا مِمَّا تُحِبُّونَ


“Sehingga kamu belanjakan apa-apa yang kamu sayangi.”


Maksudnya: Apa yang kamu sayangi – di sini- ialah dari jenis harta benda yang baik dan sangat-sngat kamu sayangi termasuk juga tenaga dan diri yang kamu miliki. Dibelanjakan sebagai bakti pada jalan Allah untuk memperolehi keredaanNya.

Orang-orang terdahulu dari As
-Salaf Ash-Shalih jika di antaranya ada yang mempunyai sesuatu barang yang disayanginya, djadikan barang tersebut sedekah Lillah (suatu pemberian atau hadiah kerana Allah) – bererti barang yang dikasihinya itu didermakannya untuk kepentingan orang lain.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas r.a. katanya: ”Adalah Abu Tolhah itu orang Ansor yang paling banyak kebun kurmanya di Madinah. Harta (kebun) yang paling disayanginya ialah Biyarha’ (suatu tempat) yang menghadap masjid di mana Nabi s.a.w. kerap memasukinya dan minum airnya yang amat baik itu.”

Manakala turun ayat:


لـَنْ تـَنَالـُوا الـْبِرَّ حَتىَّ تـُنْفِقـُوا مِمَّا تُحِبُّونَ


Berkatalah Abu Tolhah “Ya Rasulullah, sesungguhnya harta yang sangat saya sayangi ialah Biyarha,’ saya sedekahkan ia kerana Allah. Saya harap ia menjadi kebaktian dan simpanan di sisi Allah, maka letakkanlah dia, ya Rasulullah.” di mana Allah perintahkan kepada tuan hamba.” Nabi s.a.w. menyambutnya dengan gembira seraya berkata: “Syabas! Syabas! Inilah harta yang berlaba, saya telah dengar katamu dan saya berpendapat, untukkanlah dia bagi kaum kerabatmu.”
Maka jawab Abu Tolhah: ”Saya akan lakukan, ya Rasulullah.” Kemudian Abu Tolhah pun membahagikannya kepada keluarganya dan saudara-saudara sepupunya.

Abu Hatim telah mengeluarkan riwayat dari Muhammad bin Al-Munkadir katanya: ”Manakala turun ayat ini, datanglah Zaid bin Harith membawa seekor kuda bernama Sabal. Tiada harta yang paling disayanginya melainkan itulah. Maka katanya: ”Saya jadikan kuda ini sedekah.” Rasulullah s.a.w. pun menerimanya, Tetapi ditunggangkan ke atas kuda tadi anak si Zaid sendiri yang bernama Usamah. Maka kelihatan seolah-olah Zaid tadi berdukacita. Bila diketahui yang demikian itu oleh baginda lalu ujar baginda: ”Jnganlah, sesungguhnya Allah telah menerimanya.”

Kesan dari dua hadis tadi menunjukkan betapa baiknya pertadbiran agama yang dijalankan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. setelah baginda perhatikan dan mengetahui apa yang sedang bergelora di dalam jiwa Abu Tolhah dan Zaid yang mereka sama-sama melucutkan harta kesayangan masing-masing didorong oleh kasihkan agama tetapi baginda telah menyerahkan barta-harta tersebut kepada keluarga masing-masing dengan tujuan supaya hati keduanya bertambah tetap dan keimanan keduanya bertambah sempurna. Sehingga syaitan tak berpeluang menembusi dan memasuki hati kecil masing-masing untuk membisikkan rasa sesal dan kesal melihat harta bekas miliknya itu berpindah ke tangan orang lain.

Kerana biasa terdapat orang yang sudah menyerahkan hartanya –
sebagai sedekah didorong oleh kasaihkan agama- taklama kemudian teringat-ingat pula kepada harta yang disayanginya itu dan menyesal bercerai dengannya.

Sebagai contoh yang dilakukan oleh Ibn Umar di dalam riwayat yang dikeluarkan oleh Abdul ibnu Hamaid dari Ibnu Umar, berkata: ”Saya telah dibawakan ayat
لـَنْ تـَنَالـُوا الـْبِرَّ ini, maka saya mengingat-ingat sesuatu yang Allah kurniakan kepada saya.


Tak saya dapati sesuatu yang melebihi kesayangan saya dari Marjanah (seorang jariah bangsa Rom) maka saya pun berkata: “Dia saya merdekakan untuk keredaan Allah. Kalaulah boleh saya kembali kepada sesuatu yang telah saya serahkan kepada Allah nescaya saya kahwin dia, tetapi saya telah kahwinkan dia kepada Nafi’ (salah seorang hamba sahayanya yang sangat dikasihi)”

Perhatikan, sidang pembanca Blog ini! Rupanya rasa kasih sayag terhadap jariah yang telah dimerdekakannya itu masih lagi mempengaruhi dan meninggalkan kesan yang belum dapat dikikis dari jiwa Ibnu Umar, hingga teragak hatinya hendak mengahawininya – tak mahu bercerai dengannya –kalaulah tidak digigih oleh keputusan yang diambilnya iaitu, tidak akan kembali kepada sesuatu yang telah diserahkannya untuk keredaan Allah. Namun demikian, kekasih yang dicintainya itu – iaitu Marjanah bekas jariahnya – dijodohkannya kepada orang yang paling disayanginya pula iaitu Nafi’ – hamba sahayanya.

Kemudian ada satu riwayat mengenai Ibnu Umar juga: Bahawa Ibnu Umar waktu di Makkah ingin makan ikan setelah sembuh dari sakitnya. Diuruslah orang mencari ikan ke Makkah tetapi tidak dapat. Tak lama kemudian dapatlah ikan itu lalu dibeli dengan harga satu setengah dirham. Ikan itu pun dibakar lalu dihidangkan di hadapannya bersama roti.


Tiba-tiba datanglah pengenis tercegat di pintu. Ibnu Umar pun menyuruh budaknya (khadamnya) seraya berkata: ”Bungkuskanlah ikan itu dengan rotinya, serahkan kepada si pengemis. Rupa-rupanya budak itu enggan memberikannya kepada pangemis tersebut, lalu dibawanya balik dan diletaknya di hadapan Ibnu Umar sambil berkata: ”Jemputlah makan dengan senang hati, wahai Abu Abdurrahman (gelaran bagi Abdullah Ibnu Umar). Saya telah beri pengemis tadi wang sebanyak satu darham dan ikan ini saya minta balik.” Maka ujar Ibnu Umar pula: ”Bungkus ikan itu balik, serahkan kepada si pengemis dan jangan engkau ambil balik wang sederham itu. Sesungguhnya saya telah mendengar Rasuullah s.a.w. bersabda:


أ َيُّمَا امْرِىٍّ ا ِشْتَهَى شَهَوَةً فَرَدَّ شَهْوَتـَهُ وَا َثـَرَ


عَلىَ نَفْسِهِ إ ِلَّا غَفَرَ اللهُ لـَـهُ.


Sesiapa ingin kepada sesuatu terapi ditahannya keimanannya itu dengan mengutamakan dirinya dari melayani keinginannya (syahawatnya), nescaya Allah ampunkan dosanya.”


Demikianlah, semoga jejak langkah yang digambarkan oleh para sahabat yang solihin dalam beberapa riwayat tersebut, menjadi contoh yang akan diteladani oleh setiap orang yang benar-benar berjiwakan keimanan kepada Allah dan hari kemudian – contoh dan teladan yang ditunjukkan itu. untuk berderma dan berbakti pada jalan Allah
kita patut ambil iktibar.

-----------------------------------------

Sekian dahulu dan diharap kita sekalian dalam mengerjakan ibadat kepada Allah, lebih-lebih lagi berkenaan solat, puasa, memberi zakat, mengerjakan haji, bersedekah, membuat wakaf dan sebagai lagi, kita perlu memberi perhatian sungguh- sungguh agar kita diberi ganjaran pahala yang lumayan diakhirat kelak.

Sekian dahulu dan di sudahi...

وَالسَّلَامُ عَلـَيْكُمْ وَرَحْمَة ُ اللهِ وَبَرَكـَـتُـه


(Rujukan: Tafsir al-Quran Jilid 4, oleh Ahmad Sonhadji Mohamad keluaran Pustaka Al-Mizan,Taman Sitiawangsa, Kuala Lumpur 1989)


--------------ooooooooooooo--------------





No comments:

Post a Comment

Post a Comment