Friday, June 18, 2010

Kelebihan Ramadhan Siaran Ke 250




Friday, Jun 1 9

Che’ Dan bin Ahmad

E-mail – hjdan@myjaring.net.
Blogger – http:// hjchedan.blogspot.com/
Atau juga – http:// www. yahoo.com/


Kelebihan Ramadhan – Siaran Ke 250.

Bulan Ramadhan merupakan penghulu segala bulan. Dalam bulan Ramadhan diturunkan al-Quran. Ia adalah bulan beribadah, bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bulan Kebajikan dan Ihsan, bulan keampunan, rahmat dan keredaan-Nya. Bulan Ramadhan mengandungi malam Lailatul-Qadar yang mertabatnya lebih baik daripada seribu bulan yang lain.

Orang Mukmin dalam bulan Ramadhan dapat membaiki urusan agamanya dan dunianya kerana dalam bulan Ramadhan terdapat masa di mana doa dimakbulkan. Telah disebut dalam al-Hadis Nabi s.a.w. tentang kelebihan bulan Ramadhan dan berpuasa dalamnya. Antaranya ialah bermaksud :-

”Kemuncak segala bulan ialah bulan Ramadhan dan kemuncak segala hari ialah hari Jumaat.”


”Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan sudah tentu mereka bercita-cita supaya masa bulan Ramadhan berpanjangan selama setahun.”

At-Tabarani meriwayatkan Hadith riwayat Ubbudah bin al-Samit bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Bermaksud: ”Telah datang kepada kamu Ramadhan bulan membawa berkat, Allah menyelubungi kamu, lalu Ia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. Allah s.w.t. memperkenankan doa dalam bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu dalam bulan Ramadhan dan menyampaikan kebanggaan-Nya terhadap kamu kepada para Malaikat, oleh itu herndaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmat-Nya” (At-Tabarani dari Ubbudah bin al-Samit)

”Apabila tiba bulan Ramadhan segala pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka tertutup dan semua syaitan terbelenggu.”
(Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

”Sembahyang lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penebusan dosa-dosa yang dilakukan di antara masa-masa tersebut selama mana dosa besar tidak dilakukan.”
”Semua amalan anak Adam diganda balasan baik dengan 10 kali ganda hingga 70 kali ganda. Allah berfirman,
”Melainkan puasa kerana ibadah puasa adalah bagi-Ku. Aku yang memberi balasannya. Seorang yang berpuasa meninggalkan keinginannya dan makanannya demi kerana-Ku. Bagi seorang yang menunaikan puasa ada dua kegembiraan. Kegembiraan waktu berbuka dan kegembiraan di waktu menemui Tuhannya. Demi sesungguhnya bau yang keluar dari mulut seorang yag berpuasa lebih baik di sisi Allah s.w.t. daripada bau kesturi.”
(Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a. ”Sesiapa yang berdiri (sembahyang) pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan istihsab, Allah mengampunkan dosanya yang telah lalu.”

”Sesiapa menghidupkan amalan-amalan Ramadhan dengan megerjakan sembahyang Tarawih atau sebagainya dengan zikir dan istighfar, membaca al-Quran, kerana menepati apa yang dijanjikan Allah s.w.t. dengan balasan serta menghitungkan balasan pahala di sisi Allah s.w.t. dengan hati yang ikhlas dalam keadaan tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu, dia akan diampunkan segala dosanya kecuali yang berkenaan dengan hak anak Adam, kerana hak-hak itu tertakluk kepada tanggungan atau kemaafan. (Kitab Al-Muhadhdhab, Jil.1 hlm. 189)

”Ramadhan merupakan bulan kesabaran yang balasannya ialah syurga. Ramadhan merupakan bulan bantu-membantu, bulan yang dijanjikan rezeki yang bertambah untuk orang Mukmin. Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, amalannya membawa kepada keampunan bagi segala dosanya dan melepaskan dirinya daripada api neraka serta mendapat balasan pahala seperti pahala yang diperolehi oleh orang yang berpuasa tanpa ada sesuatu kekurangan.”
Para sahabat Rasulullah s.a.w. lantas bertanya. ” Ya Rasulullah s.a.w.! Tidakkah semua kami ini boleh memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka? Rasulullah s.a.w. menjawab ”Allah s.w.t. memberi pahala ini kepada orang yang memberi sebiji kurma atau minuman air atau susu campuran kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa.”

Bulan Ramadhan, awalnya membawa rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Dalam bulan Ramadhan hendaklah diperbanyakkan ermpat perkara: dua perkara, kamu akan dapat mencari keredhaan Tuhanmu, manakla perkara lain kamu tidak dapat melepas akan peluang. Dua perkara yang kamu dapat mencari keredhaan Tuhan ialah:
ucapan لاإله إلا الله serta kamu menuntut keampuna-Nya. Manakala dua perkara yang kamu tidak dapat melepaskan peluang ialah kamu memasuki syurga daripada Allah s.w.t. dan memohon perlindungan daripada neraka. Sesiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, Allah akan membalas dengan memberi minuman yang menahan dahaga sehingga dia masuk syurga.
(Kitab Fiqh & Perundangan Jilid 2 m.s. 640).

Sekian dahulu buat sementara waktu, dan akan menyusul lagi bahagian ini seterusnya sedikit masa lagi,
Wassala mualaikum......!

---------------------ooooooooooooo---------------------

No comments:

Post a Comment