Monday, July 13, 2009

100 MASALAH AGAMA

Daripada:
Hj.Che Dan bin Ahmad
No.770, Permatang Pasir, 34950 Bandar Baharu, Kedah Darul Aman.
Tel: HP 012-4932547 – Rumah 05- 7163954.
E-mail – hjdan@myjaring.net.
Blogger – http:// hjchedan.blogspot.com/
Atau juga – www.blogspot.com

Tajuk: 100 MASLAH AGAMA –SIARAN KE 4

55. Pertanyaan -Saya kurang faham mengenai hal ehwal bersuci dalam Islam. Minta tolong terangkan dengan sepenuhnya mengenai jenis-jenis air, jenis-jenis najis, perkara yang wajib mandi, berwuduk dan cara-cara tayammum yang jelas sekali ?

Ahmad Mansor, 157, Pekan Pendang, Pendang, Kedah, Darul Aman.


Jawapan masalah 55.

1..Bersuci merupakan tugas amat penting dan sangat dituntut oleh Islam, ianya merangkumi kebersihan jasmani gan rohani. Firman allah s.w.t.”

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ. (البقرة 222)
Majsudnya: Sesungguhnya Allah amat kasih kepada orang-orang yang bertaubat dan bersih.

Yang dimaksudkan bersuci di sini iaitu menghgrrilangkan segala najis dan hadas dari tubuh badan, pakaian dan tempat sehingga membeolehkan kita mengerjakan ibadat sembahyang. Bersuci boleh dilakukan dengan berbagai cara antaranya air, debu tanah untuk tayammum dan benda-benda kesat seperti batu, kayu dan bahan-bahan yang diharuskan syarak. Jenis-jenis Air yang boleh dibuat bersuci ada tujuh jenis:

(1) Air Hujan (2) Air Embun (7) Air Mata Air
(3) Air Salji (4) Air Laut
(5) Air Sungai (6) Air per
2.. Bahagian Air.
Dari tujuh jenis air itu dapat pula kita bahagikan kepada empat bahagian iaitu:
a. Air Mutlak.
Air mutlak adalah air yang belum digunakan lagi, ia suci dan boleh menyucikan dan tidak bercampur dengan benda benda lain yang bersih atau kotor. Jika air yang lebih dari dua kolah (22 ½ inc.panjang. 22 ½ in. Lebar dan dalam) dimasuki benda yang tidak berubah warna ait itu, ia masih dianggap air mutlak, tetapi jika berubah sama ada bau, rasa atau warna air itu maka tidak boleh dibuat bersuci seperti memasukkan kopi. Jika sekiranya kurang dari dua kolah dimasukkan sesuatu sama berubah atau tidak, maka iar itu tidak boleh di buat bersuci.

b. Air Mustakmal.

Air Mustakmal iaitu air yang sudah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas kecil (wuduk) atau hadas besar (mandi wajib) yakni air yang telah dibasuhkan kepada anggota yang wajib sekiranya ditadahkan semula dan air itu tidak sampai dua kolah maka air itu dikira sebagai air mustakmal, tidak boleh dibuat bersuci tetapi boleh diminum atau membasuh benda-benda yang bukan najis.

c. Air Musyammas.

Air Musyammas ialah aiar mutlak (air suci) yang terjemur dalam takungan yang bukan emas atau perak, berkarat, ditengah matahari dan digunakan ketika masih panas, biasanya berlaku di negari yang beriklim panas. Air ini apabila sejuk boleh digunakan untuk tubuh badan atau mengambi wuduk.

d. Air Mutanajis.

Air Mutanajis ialah air yang kurang dari dua kolah dimasuk najis sama ada air itu berubah atau tidak. Begitu juga sekiranya air yang terkena najis lebih dari dua kolah berubah rasa atau warna. Air ini tidak boleh dibuat bersuci atau diminum kecuali air telaga atau aiar kolam yang berubah kerana ianya bertakung atau daun-daun yang terjatuh ke dalamnya.

3.. Najis dan cara menyucikannya

Najis ialah kotoran yang menghalang sahnya sembahyang dan wajib disucikan. Jenis-jenis terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:-

a. Najis Mukhaffah (ringan)

Najis Mukhaffah, iaitu air kencing kanak-kanak laki-laki yang belum sampai umurnya dua tahun yang tidak makan melainkan susu ibunya sahaja. Ji ada airnya hendaklah dihilangkan dahulu kemudian memadai direnjiskan air ke atas najis tersebut hingga rata dan ianya tidak perlu dibasuh.

b. Najis Mutawassitah. (pertengahan)

Najis Mutawassitah ialah selain dari najis mukhaffah dan meghalazah seperti segala jenis darah kecuali hati dan limpa. Segala jenis bangkai (kecuali mayat manusia, bangkai ikan dan belalang) . Segala jenis muntah-nanah. Sesuatu yang keluar dari dua jalan (kencing atau berak) kecuali air mani, minuman yang memabukkan, susu binatang yang haram dimakan dan maninya. Cara menyucikannya najis ini – hilangkan dahulu air najis itu dengan air mutlak, kemudian memadai dibasuh tempat yang terkena najis itu dan sunat dsibasuh sebanyak tiga kali.

c. Najis Mughalazah (berat)

Najis Mughalazah iaitu babi dan anjing termasuk perkara yang ada hubungan dengannya seperti air kencing, tahi dan lain-lain lagi serta termasuk juga keturunan yang lahir dari keduadunya. Cara menyucikannya ialah apabila terkena najis atau tersentuh kulitnya hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali (sekali air bercampur tanah dan enam kali air yang bersih sahaja).
Menyentuh kulit anjing yang kering dan tangan kita yang menyentuh pun kering tidaklah menjadi najis, akan tetapi jik salah satunya basah akan dikira najis.

d. Najis yang dimaafkan ialah ulat dalam buah-buahan, sedikit darah, nanah, muntah dan bangkai seranngga yang tidak ada mengalir darahnya.

e. Menyemak kulit Binatang.

Kulit-kulit bnatang boleh dicuci dengan cara disamak iaitu menghilangkan sesuatu yang ada pada kulit bangkai itu sama ada darah. Dagin, lendir dengan bahan yang mempunyai tindakan yang tajam dan kelat rasanya seperti tawas, kapur dan lain-lain yang boleh menghilangkan baunya lalu dikeringkannya.

4.. Istinjak dan Qada’ Hajat.

Intinjak bermakna membersihkan tempat saluran najis dari qabul atau dubur sama ada dengan air atau lain-lain yang diharyskan syarak. Sesuatu najis atau kekotoran yang mengenai diri seseorang boleh dicuci dan dibersihkan dengan selain dari air seperti benda yang kering, keras, kayu, batu adan lain-lain, tetapi tidak termasuk bahan-bahan makanan seperti roti kering dan sebagabnya.

Beristinjak dengan air serupa juga dengan menggunakan batu iaitu hendaklah dihilangkan tiga petrkara iaitu bau, rasa, rupa dan warnanya. Kemudian membaca doa berikut dalam bahasa kita pun boleh:
”Ya Allah bersihkanlah hatiku dari sifat munafik dan
peliharalah kemaluan ku dari kekotoran.”
5.. Qada’ Hajat.

Cara yang dilarang qada’ hajat:
a. Di dalam masjid atau di tempat perhentian manusia.
b. Di atas kubur atau di bawah pokok buah-buahan.
c. Di air tenang.
d. Di dalam lubang yang mungkin ada binatang berbisa.
e. Di kawasan lalu-lalang orang.
f. Membelakangkan atau mengadap kiblat tanpa sesuatu dinding.
g. Bercakap-cakap melainkan perkara yang penting sahaja.

6.. Cara yang baik melakukan qada’hajat ialah;-
a. Di tempat yang dikhaskan.
b. Mendahului kaki kiri sewaktu masuk ke tandas dan membaca doa:

بِسْمِ اللهِ اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذث بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَاءِـثِ.
“Dengan nama Allah aku berlindung dengan Engkau dari sebarang kekotoran dan segala yang kotor”



7..Keluar Tandas.

Mendahului kaki kanan semasa keluar tandas dan membaca doa berikut:
غُفْرَانـَكَ الْحَمْدُ للهِ الَّذِىْ أَذْهَبَ عَنِّى الْأَذَى وَعَافَانِيْ.
“Mohon keampunan Mu Ya Allah Segala puji bagi Allah Yang menghilangkan dari penyakit dan memberi aku kesihatan.

8.. Memakai kasut dan berdehem (bersuara sedikit) sesudah membuang air kencing dan juga menggoncang tiga kali kemaluan supaya titisan air kencing itu habis (tidak terkeluar sesudah berwuduk). Jangan lupa membasuhnya.
9.. Perkara Wajib Mandi.

Perkara yang wajib mandi bagi laki-laki dan perempuan ialah – Bersetubuh (dikira asalkan tersentuh kemaluan laki-laki dan perempuan), keluar air mani secara sengaja atau tidak sengaja dan orang mati kecuali mati syahid.

Perkara yang wajib mandi bagi perempuan sahaja ialah – Datang Haid iaitu darah yang keluar dari faraj perempuan, kebiasaannya berumur smbilan tahun hingga empat puluh lima tahun dan darah ini keluar sekurang- kurangnya sehari semalam dan selama-lamanya lima belas hari lima belas malam. Kebiasaannya enam hari atau tujuh hari tujuh malam. Jika sekiranya darah itu keluar melebihi kebiasaan dikira darah istihadah (penyakit) wajib menunaikan sembahyang dan lain-lain seperti orang biasa.

Darah Nifas iaitu darah yang keluar dari kemaluan perempuan selepas melahirkan anak sahaja. Masanya tidak lebih dari enam puluh hari enam puluh malam dan kebiasaannya empat puluh hari empat puluh malam.

Larangan bagi wanita haid dan nifas ialah segala larangan yang dikenakan kepada orang yang berjunub. Seperti mendirikan sembahyang, membaca Al-Quran, menyentuh Al-Quran, Tawaf, puasa, melintas dalam masjid, bersetubuh dan bercerai.

Darah istihadah iaitu darah penyakit yang keluar dari faraj wanita selain darah haidh dan nifas. Wanita yang keluar istihadah tidak dikenakan sebarang larangan. (yakni kena sembahyang, puasa dan sebagai lagi).

10.. Peraturan Wajib Mandi

Adapun peraturan mandi wajib ini mempunyai 3 peringkat:-
a. Pertama - Niat dan lafaznya ialah:-
نَوَيْتُ رَفـَعَ الْحَدَثِ الْأَكـْبَرِ للهِ تـَعَالَى.
Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala
Niat hendaklah dilakukan ketika mula-mula menyampaikan air di badan.

b. Kedua -Menghilangkan najis di badan sama ada najis Aini atau najis Hukmi. Najis ”Aini” ialah najis yang boleh dilihat seperti tahi, darah, nanah dan sebagai lagi. Manakala najis ”Hukmi” pula ialah najis yang tidak dapat dilihat zatyna seperti kesan air kencing kanak-kanak yang berumur tidak lebih dari dua tahun dan menyusyu ibunya sahaja, atau kesan-kesan alkohol dan seumpamanya.

c. Ketiga -Menyampaikan Air.

Menyampaikan air ke seluruhan badan termasuk bulu dan celah-celah lipatan badan. Bulu dalam lubang hidung dan dalam telinga atau mata tidak wajib dibasuh kerana ia dianggap bahagian dalam badan. Jika bersanggul wajib dihuraikan, tetapi jika bulu itu pada asalnya tersimpul, dimaafkan. Wajib juga membasuh bahagian luar telinga, lubang hidung serta segala kulit-kulit yang pecah di badan yang biasa terjadi di kaki, celah-celah kemaluan dan sebagainya. Adapun memandikan orang mati dimaafkan berbuat demikian sekiranya tidak dapat membasuhkan bahagian-bahagian sulitnya kerana itu dianggap sebagai menghinakan mayat.

11.. Sunat-sunat Mandi Wajib.
Perkara sunat sewaktu mandi wajib itu amat banyak antaranya:

a. Mengadap kiblat.
b. Membaca ” بسم الله الرحمن الرحيم
c. Membasuh dua tapak tangan.
d. Mengambil wuduk sebelum mandi wajb.
e. Di niat dengannya mandi junub seperti yang tersebut tadi.
f. Menggosok-gosok seluruh badan dengan tangan.
g. Muwalaat iaitu berturut-turut tanpa putus antara satu sama lain.
h. Tertib iaitu ikut aturan yang dahulu didahulaukan dan yang kemudian dikemudiankan.
i. Membasuh tiga kali tiap-tiap basuhan.

12.. Rukun Wuduk

(1). Niat ketika mula-mula menyampaikan airke muka.

نَوَيْتُ رَفَعَ الْحَدَثِ الْأَصْغَرِ للهِ تَعَالـَى.
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala.
Atau
نَوَيْتُ فـَرْضَ الـْوُضُوْءِ للهِ تَعَالىَ.
Sahaja aku mengambil wudu’ kerana Allah Taala
.
(2). Membasuh muka mulai dari tempat tumbuh rambut hinghga ke
Dagu dan dari anak telinga kanan hingga ke arah telinga kiri.

(3). Membasuh kedua-dua tangan sehingga ke siku.


(4). Menyapu air ke kepala atau kepada mana-mana bahagian kepala
Atau rambut yang berada dalam lingkungan kepala, walau sehelai
rambut sekalkipun.


(5). Membasuh dua kaki hingga ke buku lali.


(6) Tertib (teratur) iaitu yang dahuku dsisahulukan dan yang
kemudian di kemudiankan.




13..Sunat-sunat Wudhu’

(1). Memulakan berwudhu’ dengan membaca:
أَعُوْذُبِا للهِ مِنَ الشـَّيْطَانِ الرَّجِيْم ِ.
دان
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم ِ.

(2). Membasuh tangan hingga ke pergelangannya.

(3).Berkumur-kumur.

(4). Menghisapkan atau menyedutkan air ke dalam hidung.

(5). Menyapu seluruh kepala.

(6). Sapu dua telinga sebelah luar dan dalam dengan air.

(7). Menyelati air ke janggut.

(8). Menyampaikan air ke celah-celah jari kaki dan tangan.

(9). Mendahukukan basuh anggota kanan dari yang kiri.
(10).Membasuh atau menyapu tiga kali setiap anggota wudhu’.

(11).Muwalat atau berturut-turut.

(12).Berdoa selepas wudhu’ iaitu:-

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلـَهَ إِلَا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُه ُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ
اجْعَلْنِىْ مِنَ التـَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِىْ مِنَ الـْمُتَطَهِّرِيْنَ وَاجْعَلـْنِىْ مِنْ عِبَادِكَ
الصَّا لِحِيـْنَ.

Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang selainnya patut disembah melainkan Allah dan aku mengaku bahawa nabi Muhammad itu hamba dan utusan Allah. Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku dari golongan orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari orang yang suci bersih dan jadikanlah aku salah seorang hamba engkau yang baik.
14… Perkara-perkara YangMembatalkan Wudhu’.

Terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti berikut:-

(a). Keluar sesuatu dari salah satu saluran najis sama ada dubur atau kemaluan
kecuali air mani (sperm).

(b). Tidur yang tidak tetap kedudukan papan punggungnya, umpamanya tidur dalam keadaan berdiri atau juga merebahkan badan di lantai.

( c). Hilang akal dengan sebab sakit, mabuk, pitam, gila dan sebagai lagi.

(d). Bersentuh antara kulit lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim.

(e). Menyentuh kemaluan, manusia atau halaqah (bahagian antara qubul dan
dubur) kemaluannya tanpa berlapik dengan tapak tangan atau perut anak jarinya
baik kemaluannya sendiri atau kemaluan orang lain, kanak-kanak atau orang
dewasa sama ada yang masih hidup atau yang telah mati.

15. Tayammum Dengan Syarat-Syaratnya.
Adapun tayammum itu mempunyai beberapa syarat:-

a. Barangsiapa yang uzur tidak dapat menggunakan air kerana ketiadaannya, sama ada setelah berusaha mencarinya tetapi tidak dapat,

Atau pun kerana adanya halangan untuk sampai ke tempat air seperti binatang buas.
c. Atau pun ada orang yang menahannya untuk pergi ke tempat itu.

d.. Atau pun ada air tetapi akan dugunakan untuk minuman sendiri jika
digunakan boleh mudarat orang lain juga.
e.. Atau pun air itu kepunyaan orang lain yang tida dapat di temui tuannya, juga kalau ia ada ia tidak ingin menjualnya,

f.. 6. Atau pun anggutanya ada luka-luka, atau ada semacam penyakit yang kalau digunakan air pada angguta itu akan bertambah sakitnya,

g.. 7. Kerana beberapa perkara tersebut, hendaklah ia menunggu sehingga masuk waktu sembahyang.

h.. Sudah masuk waktu sembahyang maka barulah ia mencari debu tanah yang bersih untuk mengangkat tayammum.

i. Hendaklah bertayammum dengan debu tanah yang suci.

16.. RukunTayammum

Rukun tayammum itu ada lima perkara iaitu:-


(1). Niat – iaitu:
نَوَيْتُ التـَّيَمُّمَ لِاسْتـِبَاحَةِ الصَّلَاةِ.
”Sahaja aku tayammum kerana mengharuskan sembahyang ”
Lafaz niat begini hanya boleh dipakai atau sah kerana mengerjakan
sembahyang sunat sahaja.

Adapun bertayammum kerana menunaikan sembahyang rfardhu dan
membaca khutbah lafaz niatnya ialah:-
نَوَيْتُ التـَّيَمُّمْ لِاسْتـِبَاحَةِ فـَرْضِ الصَّلَاةِ.
“Sahaja aku tayammum kerana mengharuskan fardhu sembahyangh”
Begitulah niat tayammum untuk tujuan-tujuan yang lain diniatkan
Mengikut apa yang kita hendak lakukan seperti tayammum untuk
menyentuh Al-Quran atau Tawaf adalah seperti berikut:-

نَوَيْتُ التـَّيَمُمْ لَمِسِّ الـْقـُرْآنِ / الطَّوَافِ.
“Sahaja aku tayammum untuk menyentuh al-Quran / Tawaf ”
(2).. Memindahkan debu tanah kepada anggota tayammum iaitu muka dan
dua tangan hingga kedua-dua siku. Pada permulaan memindahkan debu tanah ke muka hendaklah diniatkan mengikut tujuan tayammum itu.

(3).. Menyapu muka.

(4).. Menyapu dua tagan hingga ke dua-dua siku.

(5).. Tertib- yang dahulu di dahukukan.

17.. Perkara-perkara yang membatalkan tyammum.
(1).. Semua perkara yang membatalkan wudhu’maka batallah tayammum itu.
(2)..Mengetahui ada air dikawasan yang berhampiran atau syak ada air dengan
melihat awan yang tebal di kawasan yang berhampiran dengannya.

(3)..Murtad, atau keluar dari Agama Islam.


18.. Hukum-hukum Tayammum.

Hukumnya tayammum itu harus di sisi orang yang ketiadaan air, dan orang sakit tidak boleh menggunakan air. Tayammum boleh menggantikan wudhu’ dan mandi junub. Tayammum itu dengan menggunakan debu dari tanah yang bersih seperti tanah dari busut.
19. Kaedah hendak tayammum.

Melakukan Tepukan Pedrtama.

Ambil tannah yang bersih diayak mendapatkan debunya, di taruh ke dalam dulang atau kertas yang suci kemudian diletakkan dua tapak tangan ke atas debu itu serta ditekan ke atas debu itu secara tipis supaya melekat sedikit debu itu di kedau tapak tangan. Jika terdapat banyak debu hendaklah di kebas sedikit supaya ia keluar dan tinggal tipis sahaja. Selepas itu disapukan ke muka.




Melakukan Tepukan Yang Kedua.

Letakkan dua tapak tangan kali kedua ke atas debu di tempat yang lain sedikit pula sebagaimana dahulu dan dengaan perut jari tangan kiri menyapu ke atas tangan kanan hingga ke siku dan balik ke perut jari kanan.

Dan balik pula dengan menyapu bawah tangan kanan dengan perut jari kanan ke tangan kiri hingga ke siku dan balik ke perut jari kiri.

Tepukan Kedua.

20. Satu kali Tayammum

Dengan satu tayammum ia boleh bersembahyang fardhu satu kali sahaja. Kalau hendak melakukan sembahyang fardhu yang lain hendaklah ia bertayamum sekali lagi. Manakala sembahyang sunat boleh dilakukan sebanyak yang dierlukan.

21. Tayammum bagi Orang yang berbalut.

Jika terdapat mukmin yang luka di tempat yang wajib berwuduk ia bolehlah bertayamum untuk mengerjakan sembahyang. Misalnya ia luka di tangan kiri dan berbalut tidak boleh terkena air hingga beberapa hari maka ia bolehlah bertayamum dan berwuduk untuk sembayang.
Caranya ialah pertama, ia hendaklah bertayamum iaitu menyapu muka dengan debu dan menyapu kedua-dua belah tangannya dengan debu termasuk ditempat berbalut luka itu.

Kemudian kedua, selepas tayammum itu, ia hendaklah mengangkat wuduk seperti biasa untuk bersembahyang, tetapi apabila tiba di tangan tempat yang luka itu ia tidak payah basuh tempat berbalut itu hanya dengan sebagai syarat sahaja menyapu sedikit air ke atas tempat berbalut itu. Maka ia bolehlah bersembahyang dengan sah wuduknya itu.

Diharap pihak yang bertanya faham apa yang ia tidak mengetahui selama ini, jika kurang keterangan anda bolehlah menulis melalui alamat seperti yang teresebut di agtas. Saya akan menjeaskan secara terperinci lagi akan kemushkilan anda itu.Sekian terimakasih di atas melayari Blog ini

1 comment:

  1. Kalau nanah yg belum pecah adakah menghalang mandi wajib

    ReplyDelete