Tuesday, January 5, 2010

Tafsir Al-Quran - Siaran 145

CHE DAN BIN AHMAD
E-mail – hjdan@myjaring.net.
http://hjchedan.blogspot.com/


EHWAL AGAMA ISLAM – SIARAN KE 145.

Tafsir Al-Quran.

Surah Ali-Imran, Ayat 134.

اَلـَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِى السَّرَاءِ وَالضَّبرَاءِ وَالـَكَظِمِينَ

الـَغَيْظَ والـْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ج

وَاللهُ يُحِبُّ الـْمُحْسِنِينَ.

“Iaitu orang-orang yang membelanjakan harta-hartanya semasa senang dan susah, orang-orang yang sabar menahan marah, dan orang-orang yang pemaaf terhadap kesalahan manusia, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan itu.”
(Ali-Imran ayat 134)

Huraiannya:

Allah seterusnya telah menerangkan akan sifat-sifat orang yang taqwa itu sxebagai berikut:
1. Orang-orang yang menbelanjakan harta mereka semasa senang dan semasa susah. Yakni orang-orang yang tersebut di dalam dua keadaan yang berlawanan. Sama ada semasa lapang atau sempit, semasa kaya atau miskin, semasa suka atau duka, sedang dalam kenikmatan atau sedang ditimpa cubaan. Mereka tidak sekali-kali berhenti dari membelanjakan harta mereka untuk membantu dan berbuat kebajikan kdepada sesama manusia terutama kepada saudara-saudara mereka orang-orang Islam. Perbuatan mereka yang disebutkan oleh Allah itu merupakan sifat mereka yang pemurah lagi dermawan. Sifat pemurah ini menandakan taqwa mereka yang amat besar kelebihannya.
At-Termidzi telah mengeluarkan riwayat dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda- maksudnya:
”Orang yang pemurah dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga, jauh dari neraka. Dan orang yang bakhil jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga, dekat kepada neraka. Dan orang jahil yang pemurah lebih disayangi oleh Allah daripada orang kuat beribadat yangbakhil.”

2. Orang-orang sabar menahan marah. Yakni kemarahan yang sedang menyala-nyala di dalam dada mereka itu dapat mereka tahan. Maka perbuatan mereka merupakana sifat sabar yang hanya dipunyai oleh orang-orang yang berjiwa besar dan semangat kuat – sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah – bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;
”Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergelut, hanya yang kuat itu dapat menguasai dirinya ketika marah.”

3. Orang-orang yang pemaaf terhadap kesalahan manusia. Yakin sekiranya ada orang melakukan kejahatan terhadap mereka atau menganiya, tiada dibalasnya bahkan dimaafkan kesalahannya.
Ayat ini mengisyaratkan juga tentang baiknya Nabi s.a.w. terhadap pasukan pemanah dalam peperangan Uhud yang telah melanggar perintahnya kerana meninggalkan pertahanan mereka – kesalahan mereka itu telah dimaafkan – begitu pula Nabi s.a.w. telah memaafkan perbuatan orang-orang musyrikin yang menyayat-nyayat mayat Sayidina Hamzah r.a. dahulu padahal baginda telah berniat hendak menuntut bela akan menggandakan pencerobohan mereka itu dengan 70 kali ganda. Sikap pemaaf yang demikian itulah daripada sifat orang yang taqwa.

4. Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan itu. Yakni sifat taqwa mereka itu ialah berbuat kebaikan dengan menolong meringankan kesusahan orang lain dengan mengorbankan sebahagian nikmat yang mereka terima daripada Allah iaitu berkorban tanda mensyukuri-Nya. Maka balasannya Allah mengasihi mereka.

--------------------------------------------

Sekian dahulu dan diharap kita sekalian dapat banyak mengerjakan ibadat dan kebaikan kepada Allah, seperti bersedekah, menolong orang-orang susah, berbuat baik kepada anakj-anak yatim, lebih-lebih lagi berkenaan solat, kita perlu memberi perhatian sungguh- sungguh agar kita diberi ganjaran pahala yang lumayan diakhirat kelak.

Sekian dahulu dan di sudahi...

وَالسَّلَامُ عَلـَيْكُمْ وَرَحْمَة ُ اللهِ وَبَرَكـَـتُـه


--------------ooooooooooooo--------------

No comments:

Post a Comment